PEMAIN import baharu Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Moses Atede menjadi wira buat skuad kendalian Nafuzi Zain dalam pertembungan ‘Derbi Utara’ menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang pada Selasa.
Moses yang beraksi selama 90 minit berjaya menghukum kelalaian benteng tuan rumah bagi memastikan Sang Kenari terbang tinggi menerusi gol sulungnya bersama pasukan itu.
Sang Kenari terus mengasak sejak awal dan Fadzrul Danel Mohd Nizam tidak mensia-siakan peluang apabila melakukan tampanan mudah sekali gus membuka tirai jaringan pada minit ketujuh.
Kemenangan itu membolehkan Kedah mengukuhkan cengkaman di tangga ketiga liga dengan 43 mata daripada 20 perlawanan manakala Penang kekal di tangga ke-10 dengan 19 mata.
Namun salah seorang penyokong yang juga penganalisis serta pemerhati sukan, Hafiz Mansor menerusi laman Facebook Analisis Tangga Ayam berpendapat kemenangan Kedah itu bukanlah datang kerana 'game play' yang diterapkan oleh Nafuzi.
Ifedayo sudah mula mendapat kritikan daripada penyokong Kedah. — Facebook/KDA FC
"Kedah memang patut menang hari itu (Selasa) tapi bukan sebab permainan Kedah lebih baik, tapi sebab lawan sudah kehilangan seorang pemain.
"Apa-apapun kita kena bagi pujian kepada para pemain yang bersungguh-sungguh dapatkan tiga mata penuh dalam 'Derbi Utara' pada Selasa. Begitu juga gol Fadzrul Danel pada awal babak.
"Cuma bagi aku, keseluruhan 'game plan' kita terlalu longgar. Bukan Kedah yang kita harapkan walaupun selepas lebih separuh musim bermain," katanya.
Hafiz turut mengariskan kelemahan Sang Kenari musim ini meskipun sudah melakukan rombakan besar ke atas pasukan untuk mengharungi saingan Liga Super 2023.
"Tiada 'link up' yang sempurna ketika memasuki 'final third'. Itu kelemahan yang sangat ketara.
"Kalau kita nak gariskan prinsip dalam menyerang, ada beberapa aspek akan diambil kira menggambarkan prestasi jentera serangan pasukan.
"Antara yang aku boleh sebut selain soal hab kreativiti adalah 'depth support' atau sokongan serangan.," ujarnya.
Hidalgo (kanan) antara 'top assist' untuk Kedah ketika ini dengan tujuh bantuan gol yang dilakukannya. — Facebook/KDA FC
Tambahnya lagi ketiadaan pemain zon 14 yang boleh membantu untuk mencari gol buat penyerang seperti Ifedayo juga antara salah satu kelemahan yang dihadapi Nafuzi Zain musim ini.
"Penyokong akan sebut Ifedayo pun tak 'perform' mana. Aku setuju bab itu, tapi sokongan di zon 14 juga tidak begitu membantu.
"Aku pernah ulas Kedah tiada 'The Assister' dalam pasukan. Pemain yang boleh 'provide assist' kepada penyerang untuk menjaringkan gol.
"Walaupun Nafuzi cuba isi Fayadh di zon tersebut, tapi belum nampak keberkesanannya.
"Situasi macam ini menyebabkan kita hanya menguasai bola tapi tidak menguasai perlawanan.
"Sebaliknya pasukan lawan yang kelihatan bertahan lebih mengancam kubu kita dengan permainan 'direct play' dan 'counter attack'.
"Persoalannya, adakah Kedah akan kekal seperti ini sehingga akhir musim?" luahnya.
Kedah berdepan tugas getir untuk merapatkan jurang dengan Selangor FC di tangga kedua apabila akan melayani kunjungan pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim pada 26 Ogos ini.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram