Beraksi atau tidak? TCH 'update' status Faisal Halim lawan Kelantan FC


  • Podium
  • Jumaat, 25 Ogos 2023

Faisal dibenarkan turun beraksi selepas tempoh penggantungan selama sebulan sudah pun berlalu.

SELANGOR FC tidak akan mengambil mudah cabaran Kelantan FC apabila kedua-dua pasukan bakal berentap dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Jumaat.

Pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe, mahu semua pemain bersedia dengan apa jua situasi dalam perlawanan menentang Kelantan.

"Kami sedar prestasi pasukan pada perlawanan sebelum ini (PDRM) adalah di bawah par. Dengan itu kami membuat persiapan rapi untuk perlawanan menentang Kelantan kerana kami mahukan keputusan yang terbaik untuk pasukan.

"Sama ada Faisal Halim akan bermula atau tidak, barisan kejurulatihan telah membuat perancangan bagaimana untuk menggunakan khidmatnya dengan sebaik mungkin ke dalam pasukan.

"Faisal berjaya memastikan dia masih dalam keadaan terbaik walaupun tidak dapat menyertai rakan sepasukannya dalam latihan selama sebulan.

"Barisan kejurulatihan juga memberikannya latihan tambahan semasa tempoh rehat itu supaya dia bersedia untuk beraksi malam ini (Jumaat)," katanya.

Safuwa Baharuddin

Safuwan sah tidak akan diturunkan menentang Kelantan FC.

Tambahnya, Selangor turut kehilangan khidmat tiga pemain utama kerana mengalami kecederaan disebabkan itu dia membawa beberapa pemain skuad Bawah-23 (B-23) untuk menggantikan kekosongan yang ditinggalkan.

"Kami turut membawa masuk beberapa pemain dari pasukan Selangor B-23 untuk memberi peluang dan pengalaman kepada mereka di pentas lebih besar.

"Saya berharap dengan melakukan ini, pemain muda akan bermotivasi dan sentiasa bersedia apabila diberi peluang kerana apa-apa sahaja boleh berlaku. Jika semuanya berjaya malam ini, saya akan biarkan mereka bermain.

"Safuwan Baharudin, Zikri Khalili dan Richmond Ankrah masih dalam fasa pemulihan daripada kecederaan mereka," jelasnya.

Untuk rekod, ini adalah pertemuan ke-100 antara Kelantan dan Selangor yang mana Gergasi Merah berjaya memenangi 46 dan seri 32 perlawanan.

Selain itu, 196 gol telah dihasilkan daripada pertemuan antara kedua-dua pasukan ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram