JAGUH powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin terus mencipta sensasi dengan memecah rekod dunia miliknya sendiri bagi kategori lelaki atas 72 kilogram (kg) dalam Kejohanan Dunia Para Powerlifting di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Khamis.
Bonnie mengangkat bebanan 231kg pada percubaan ketiga, sekali gus memperbaharui rekod dilakarnya sebelum ini iaitu 230kg ketika saingan Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 pada Jun 2021.
Catatan dilakukan atlet kelahiran Sarawak itu jauh meninggalkan pencabar terdekatnya dari Itali, Donato Telesca yang merangkul perak dengan angkatan 202kg.
Pingat gangsa pula menjadi milik wakil Uzbekistan, Bekzod Jamilov menerusi angkatan 200kg.
Kejohanan yang membuka tirai sejak Rabu lepas akan berakhir 30 Ogos ini.
Bonnie pernah menjuarai pingat emas Olimpik Paralimpik Tokyo pada 2021.
Bercakap kepada Nadi Arena, Bonnie kini dalam fasa pemulihan bahu supaya dapat berikan yang terbaik semasa Olimpik Paris 2024 tahun depan.
"Yang itu saya belum tahu lagi, sebab saya nak buat recovery sikit sebelum ke Paris.
"Jadi saya bersedia untuk ke Paris, kali ini lain sikit kerana pesaing terdekat saya dari China last minit dia tarik diri.
"Dekat kejohanan Asia, China nanti mungkin dia akan bersaing dengan saya, di sana nanti.
"Mungkin saya tak akan buat sebarang rekod dekat kejohanan Asia, sebab saya tak nak bahu saya ini akan jadi lebih teruk," katanya.
Untuk rekod, ini gelaran juara dunianya yang ketiga selepas menang buat kali pertama pada 2019 di Kazakhstan dalam acara bawah 65kg, disusuli 2021 di Georgia yang menyaksikan dia beralih ke kategori bawah 72kg. — Majoriti