'Bila kali terakhir skuad B-23 main cantik?' Trio SAS digeruni gergasi Asia mula dirindui


  • Podium
  • Jumaat, 25 Ogos 2023

Muhammad Alif Ikmalrizal dikasari pemain Vietnam dalam aksi separuh akhir Piala AFF B-23. — Facebook/FAM

KEKALAHAN besar di tangan Vietnam semasa aksi separuh akhir Piala AFF B-23 Tahun membuatkan penyokong Malaysia tidak dapat menahan rasa marah dengan corak permainan yang ditampilkan anak-anak buah E.Elavarasan.

Skuad Harimau Muda tewas dengan keputusan 1-4 pada aksi yang berlangsung di Stadium Wilayah Rayong, Thailand sekali gus gagal melayakkan diri ke perlawanan akhir.

Selepas perlawanan, Elavarasan menyatakan benteng pertahanan Malaysia yang hilang fokus menjadi punca Vietnam mendapat tiga gol pada separuh masa pertama.

Jaringan saguhati kem negara hadir pada minit ke-49 menerusi tandukan Alif Ikmalrizal Anuar selepas menyempurnakan hantaran lintang Aliff Izwan.

Namun, sudah terlambat buat kem pasukan untuk bangkit merapatkan kedudukan apabila pemain Vietnam terus menambah duka skuad B-23 apabila menjaringkan gol pada minit ke-85 permainan.

Dengan kekalahan itu rata-rata penyokong mula mempersoalkan reputasi Elavarasan sebagai pengendali B-23 serta kualiti pemain-pemain muda negara.

B23 AFF

Fergus Tierney (tengah) antara pemain tumpuan dalam kejohanan Piala AFF B-23. — Facebook/FAM

Suara penyokong, @OnefootballM di Twitter mula bertanya kepada pemain ke-12 Harimau Muda bila kali terakhir skuad muda negara bermain dengan tersusun dan mempunyai corak permainan yang menarik.

Malah dia juga berpendapat kejatuhan prestasi skuad B-23 adalah disebabkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meletakkan jurulatih yang tiada sistem corak permainan dan pemain muda negara kurang kompetitif di Liga Super.

Penyokong-penyokong lain turut bersetuju dengan pendapat yang diberikan @OnefootballM serta merasakan zaman Datuk Ong Kim Swee antara pencapaian terbaik skuad B-23.

AFC 2018

Kesebelasan utama Harimau Muda pada 2018 dalam kejohanan AFC B-23 2018. — Facebook/FAM

"Pasukan B-23 terbaik masa zaman Ong Kim Swee di Piala AFC B-23, memang waktu itu skuad paling padu, tapi sekarang sedih tengok pencapaian Harimau Muda," kata @SimonOngelead.

"Kali terakhir masa Ong Kim Swee pegang bagus, selepas itu hancur. Tolong melabur sikit untuk B-23 mereka ini pengganti skuad senior juga," jelas @Fqrsln.

"FAM gagal. Hanya menumpang kejayaan pasukan yang Kim Pan-gon bina," ujar @AbamBall.

"Gandingan serangan B-23 dah tak macam dulu, rindu masa trio Akhyar Rashid, Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad. Waktu itu Jepun, China, Arab Saudi, Korea Selatan semua takut dengan Harimau Muda," luah @Bombastik.

Untuk info, selepas ini skuad B-23 sekali lagi akan ke Thailand dalam misi untuk melayakkan diri ke kejohanan Piala AFC B-23 2024 yang akan berlangsung di Qatar.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan H akan menentang Thailand (tuan rumah), Bangladesh dan Filipina pada September depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram