Alfredo tidak sembunyi sebab TRW tewas memalukan, Cheng Hoe puji kebangkitan anak buah


  • Podium
  • Sabtu, 26 Ogos 2023

Selangor FC bangkit selepas ketinggalan dua gol untuk membenam skuad TRW dengan keputusan 11-2 di tempat lawan. — Facebook/MFL

KEPUTUSAN memalukan terpaksa ditelan penyokong Kelantan FC apabila mereka tewas 2-11 di laman sendiri kepada Selangor FC dalam aksi Liga Super pada Jumaat.

Meskipun mendahului dengan dua gol hasil jaringan Natanael Siringoringo dan Fazrul Amir Zaman, skuad The Red Warriors (TRW) gagal meneruskan rentak mereka.

Kebangkitan pantas yang ditunjukkan pasukan pelawat menyaksikan kelab Pantai Timur itu ketinggalan dengan skor 2-4 selepas separuh masa pertama melabuhkan tirainya.

Namun, kerapuhan benteng pertahanan Kelantan FC sekali lagi dihukum apabila skuad Gergasi Merah mudah menjaringkan tujuh gol pada babak kedua.

Kekalahan terbabit pastinya sukar ditelan memandangkan skuad TRW sebelum itu sudah tewas 0-8 kepada Terengganu FC selain dimalukan di tangan Johor Darul Takzim (JDT) dengan skor 0-10 dalam aksi timbal balik Piala Malaysia.

Mengulas akan perlawanan itu, pengendali Kelantan FC, Alfredo Vera berkata, kegagalan pemain untuk meneruskan rentak setelah memulakan aksi dengan cukup baik merupakan punca di sebalik keputusan mengecewakan itu.

371097614_320862140335776_3208590355658126210_n

Pemain Kelantan FC meraikan gol pembukaan Siringoringo (tengah). Facebook/MFL

"Kita main dengan berani untuk 30 minit, kemudian pemain kehilangan tenaga sehingga menyebabkan mereka mudah mensia-siakan penguasaan bola.

"Jika kamu hilang bola terlalu cepat, pasti anda akan lebih cepat berasa penat kerana kamu perlu mengejar pemain lawan. Jika kamu berdepan pasukan seperti ini (Selangor FC), pasti akan lebih sukar," katanya kepada Astro Arena.

Meskipun berjaya mencatatkan kemenangan ketika berdepan Negeri Sembilan FC 9 Ogos lalu, Alfredo masih gagal membawa nafas baharu buat pasukannya itu.

Tetapi, pengendali kelahiran Argentina berkenaan tidak dipersalahkan penyokong memandangkan terdapatnya perubahan dari segi gaya permainan sejak dia mengambil alih Jun lalu.

Sementara itu, bagi ketua jurulatih skuad Gergasi Merah, Tan Cheng Hoe pula, kebangkitan yang dipamerkan anak-anak buahnya selepas ketinggalan merupakan sebab utama mereka mampu pulang dengan tiga mata berharga.

369973272_779183830880014_8042730694194680318_n

Ayron del Valle menjaringkan empat gol di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan. Facebook/Selangor FC

"Kelantan FC sedikit sebanyak merisaukan barisan jurulatih kerana kita tidak turun dengan satu sikap fokus untuk perlawanan malam ini.

"Sudah tentu, selepas kita ketinggalan dengan dua gol, kita bertindak balas segera untuk dapatkan jaringan tersebut dan akhirnya kita dapatkan (jumlah) jaringan terbaik musim ini," katanya.

Jurulatih berusia 55 tahun itu turut menegaskan bahawa pemainnya tidak boleh melakukan kesilapan seperti awal permainan kerana ia dikhuatiri hanya akan menghukum pasukannya kelak.

Dalam perlawanan itu, gol Selangor FC disumbangkan Ayron del Valle yang meledak empat gol sementara Richmond Boakye turut berpeluang menjaringkan hatrik pertamanya dalam Liga Super.

Faisal Halim juga berjaya menjaringkan dua gol sementara Shahrul Nazeem Zulpakar dan Yohandry Orozco masing-masing meraih satu jaringan peribadi.

Kemenangan itu meletakkan pasukan Lembah Klang itu lebih selesa dalam carta Liga Super dengan enam mata memisahkan mereka berbanding pasukan di tangga ketiga, Kedah Darul Aman FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram