Lupakan bolos 10 gol, Zamsaham sekali lagi update padang latihan TRW


  • Podium
  • Khamis, 24 Ogos 2023

Norizam aktif berkongsi perkembangan kelabnya di mana-mana platform media sosial. — Facebook/TRW Kelantan FC

KETIKA penyokong Kelantan FC masih tidak dapat melupakan kekalahan pahit di tangan Johor Darul Takzim (JDT) pada pusingan kedua Piala Malaysia, pemiliknya, Norizam Tukiman sudah selangkah ke depan.

The Red Warriors (TRW) menjadi mangsa ledakan gol Harimau Selatan apabila dibolosi 10 gol pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) bagi aksi timbal balik piała Malaysia itu.

Kekalahan itu masih sukar untuk dilupakan penyokong Kelantan sehingga ada yang mula berancang untuk memboikot Norizam pada Jumaat ini di depan Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV).

Himpunan aman dalam kalangan penyokong TRW itu dirancang akan dilaksanakan sebelum perlawanan Liga Super menentang Selangor FC yang akan diadakan pada pukul 9 malam.

Walaupun penyokong mempunyai rancangan untuk memboikotnya namun Norizam ataupun lebih mesra dengan sapaan Zamsaham terus memberi khabar gembira mengenai perkembangan padang latihan kepada pengikut TRW itu.

WhatsApp Image 2023-08-24 at 15.21.22

Kelantan kini menghuni kedudukan ke-13 Liga Super. — Facebook/TRW Kelantan FC

Menerusi hantaran terbaharu usahawan itu, beliau seperti sudah menyelesaikan proses pemilikan geran di tanah tersebut dan kini pihaknya sudah boleh ke langkah seterusnya untuk membangunkan pusat latihan itu.

“Power Of Attorney (Kuasa wakil) Bila ada PA tanah tu dikira saya ada kuasa walaupun saya bukan IC 03 (kad pengenalan Kelantan). Alhamdulillah, proses tukar nama kepada staf, jurulatih dan pemain semua mudah je. PA ni kuasa wakil,” katanya.

Sebelum ini, usahawan berkenaan berkongsi bahawa satu sesi perbincangan sudah dibuat dengan Malaysia Agro Berhad mengenai perancangan mengenai pusat latihan baharu.

"Kita akan adakan perbincangan dengan Malaysia Agro Berhad dan kalau semuanya berjalan lancar, kita akan buat kerja ukur tanah," jelasnya menerusi laman TikTok.

Menurutnya, fasiliti itu mungkin akan dibangunkan berdekatan Kelantan Polo Club, Kota Bharu yang mana tempat Norizam menceburi bidang terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram