Quentin mahu belajar dari bek JDT tapi mahu selesai misi di Pantai Timur


  • Podium
  • Jumaat, 25 Ogos 2023

Pertahanan skuad kebangsaan, Quentin Cheng. — Instagram/quentinchengg

PEMAIN pertahanan Selangor FC, Quentin Cheng mendapat tonik tambahan menjelang perlawanan menentang Kelantan FC dalam Liga Super 2023 pada Jumaat.

Hal ini kerana, pertahanan berusia 23 tahun itu antara pemain yang dipanggil oleh Ketua Jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon untuk menyertai kem latihan pusat menjelang perlawanan persahabatan menentang Syria dan China pada September depan.

Bagaimanapun, Quentin tahu bahawa untuk berada dalam pasukan utama Harimau Malaya, dia perlu bersaing dengan bek kanan terbaik negara, Matthew Davies dari kelab Johor Darul Takzim (JDT), yang digelar sebagai 'Mr Consistent' oleh penyokong tanah air.

“Bermain untuk pasukan kebangsaan adalah penghormatan tertinggi sepanjang karier saya.

“Matt Davies merupakan pemain berkualiti dan mempunyai pengalaman yang luas untuk JDT dan Malaysia, jadi bukanlah sesuatu yang mengejutkan untuk melihatnya begitu konsisten. Saya tidak sabar untuk belajar dan bersaing dengannya," kata Quentin, yang memiliki lapan caps buat skuad negara setakat ini.

Bagaimanapun, Quentin masih mempunyai misi untuk mahu membantu pasukan Gergasi Merah mengekalkan kedudukan kedua dalam liga apabila dijadualkan menentang The Red Warriors (TRW) yang diadakan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Jumaat.

Melihat kepada prestasi semasa Selangor, sudah dijangka pasukan itu meraih kemenangan mudah namun bagi Quentin mereka perlu berhati-hati dengan kebangkitan Kelantan.

“Mereka memang tidak rugi sekiranya tewas tapi masih berbahaya. Kelantan akan bermain secara terbuka dan tiada yang dapat menjangka apa akan berlaku.

“Kami menyasarkan tempat kedua dan ingin menempah tiket ke peringkat Piala AFC 2024, kami akan memanfaatkan perlawanan ini dengan sebaik mungkin," kongsinya.

Quentin merupakan tonggak utama Selangor dalam Liga Super, bermula dalam 15 perlawanan sebagai bek kanan dan bermain tiga aksi Piala FA manakala membuat satu penampilan dalam Piala Malaysia.

“Selangor adalah kelab besar, jadi ia baik untuk bermain secara kerap. Saya gembira kerana jurulatih terus memberi kepercayaan itu kepada saya walaupun saya rasa saya boleh bermain lebih baik dalam beberapa perlawanan.

“Kami mempunyai pertahanan terbaik dalam liga dan saya gembira kerana menjadi salah satu penyumbang untuk pasukan,” tambahnya.

Selangor kekal menghuni tangga kedua dengan mengutip 46 mata daripada 21 perlawanan manakala Kelantan berada pada kedudukan ke-13 liga dengan lapan mata selepas 20 perlawanan.

Untuk rekod, Kelantan bolos 18 gol hanya dalam dua perlawanan, tewas kepada Terengganu 0-8 dalam Liga Super dan 0-10 menentang JDT dalam Piala Malaysia. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram