[VIDEO] Sayang betul dengan Messi, Beckham pasang bekas tentera AS jadi 'bodyguard' tepi padang


  • Podium
  • Jumaat, 25 Ogos 2023

Lionel Messi bersama pengawal peribadinya, Yassine Chueko. — Agensi

LEGENDA Argentina, Lionel Messi menjulang trofi pertama bersama Inter Miami dengan menewaskan Nashville SC dalam aksi final Piala Liga Amerika Syarikat (AS).

Selepas menjuarai Piala Liga, Miami kini berpeluang merangkul trofi kedua berdepan Houston Dynamo pada final Piala Terbuka AS bulan depan.

Bagaimanapun, menerusi satu perkongsian rakaman video di Facebook, kelihatan kelibat seorang lelaki bertubuh sasa mencuri tumpuan apabila sentiasa mengekori bintang dunia itu dari tepi padang.

Bukan itu sahaja, kelibatnya juga dilihat berada lebih dekat apabila Messi meraikan gol bersama rakan sepasukan dalam aksi separuh akhir Piala Terbuka AS menentang Cincinnati pada Khamis.

Rupa-rupanya, lelaki tersebut, Yassine Chueko merupakan pengawal peribadi baharu Messi yang dibawa masuk oleh pemilik kelab Inter Miami, David Beckham yang juga bekas bintang Manchester United bagi melindungi Messi termasuk daripada penyokong yang menceroboh padang.

Difahamkan, bukan sahaja merupakan bekas anggota pasukan khas Navy Seal yang berkhidmat di Iraq dan Afghanistan, malah Yassine Chueko juga seorang peninju dan pernah menyertai beberapa perlawanan MMA. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram