Akui main tak macam biasa, Elavarasan nafi HM ‘tercungap-cungap’ jumpa Vietnam


  • Podium
  • Jumaat, 25 Ogos 2023

Sekitar aksi menarik ketika separuh akhir Piala AFF antara skuad Harimau Muda menentang Vietnam pada Khamis. — Facebook/FAM

PASUKAN kendalian E. Elavarasan gagal mara ke final Kejohanan Bawah 23 Tahun Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) selepas dibelasah juara bertahan, Vietnam 1-4 pada separuh akhir di Stadium Rayong Provincial, Thailand pada Khamis.

Pengendali skuad kebangsaan B-23, E. Elavarasan mengakui para pemainnya tidak beraksi dengan baik selepas tampil dengan sangat longlai apabila hanya separuh masa pertama perlawanan, pasukan negara sudah dibolosi dengan tiga jaringan.

Elavarasan berkata, mimpi ngeri pada separuh masa pertama menyebabkan kegagalan ke pentas final di samping mengakui benteng pertahanan Harimau Muda banyak melakukan kesilapan yang membuka ruang kepada Vietnam untuk menjaringkan gol.

"Pada separuh masa pertama para pemain tidak beraksi seperti yang sepatutnya dan pertahanan antara yang kerap membuat kesilapan, sebab itu Vietnam mendapat tiga gol,” kata Elavarasan.

Jurulatih berusia 61 tahun itu turut menafikan faktor keletihan selepas beraksi dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Selasa lepas menyebabkan mereka mengalami kekalahan besar dengan Vietnam.

“Ia tiada kaitan dengan keletihan malah cuaca. Dalam dua perlawanan terakhir, kami bermain pada waktu malam dan pada separuh akhir, kami bermain pada sebelah malam. Tetapi ia tidak sepatutnya menjadi isu. Kami membuat kesilapan, itu sahaja. Pada separuh masa kedua, kami menukar pemain dengan membawa masuk Fergus dan Ruven, tetapi ia agak lewat.

"Saya tidak boleh katakan ia merupakan faktornya kerana Vietnam (menang 1-0 dengan Filipina) juga beraksi pada hari yang sama dengan kami,” katanya.

Dalam perlawanan tersebut, skuad Harimau Muda mampu berpuas hati dengan jaringan jaringan sagu hati dari pemain Alif Ikmalrizal Anuar pada minit ke-49.

Selain Dinh Xuan Tien yang menjaringkan dua gol buat pasukan Vietnam, Nguyen Qouc Viet dan Nguyen Hong Phuc juga antara watak penting berjaya mematahkan benteng pertahanan sekali gus membolosi gawang pasukan tanah air.

Bagaimanapun, bekas Jurulatih Sarawak United itu gembira melihat anak-anak buahnya menimba pengalaman bermain dalam pertandingan peringkat tinggi di Thailand selepas kurang menyertai aksi kompetitif sebelum ini.

Untuk rekod, kekalahan di tangan Vietnam itu merupakan kali ketiga selepas skuad B-23 negara pernah ditewaskan 0-1 ketika separuh akhir Sukan SEA Vietnam 2022 dan Sukan SEA Kemboja 2023 dengan keputusan 1-2 di peringkat kumpulan B.

Kegagalan mara ke final itu menyaksikan Harimau Muda terpaksa beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, juga pada Sabtu.— The Star/T.AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram