Tak diterima balik ke JDT, diam-diam fans luar idam De Paula jadi peledak


  • Podium
  • Rabu, 23 Ogos 2023

De Paula mencetak empat jaringan bersama Melaka FC musim ini. — Facebook/MFC

SEJAK menyertai saingan Liga M3 dengan menyarung jersi Melaka FC secara pinjaman dari Johor Darul Takzim (JDT), nama penyerang naturalisasi negara, Guilherme De Paula semakin tenggelam.

Keputusan De Paula menyertai Harimau Selatan pada awalnya mengejutkan penyokong namun di sisi lain ia merupakan jalan terbaik untuk bekas pemain Perak itu mendapatkan semula momentumnya sebagai penyerang yang pernah digeruni sebelum ini.

Namun selepas 17 perlawanan bersama skuda Hang Tuah, pemain kelahiran Brazil itu kurang mendapat tempat di bawah kendalian Pedro Hipolito dan kali terakhirnya De Paula diturunkan adalah dalam aksi menentang Harini FT pada 29 Julai lalu.

Sejak aksi yang menyaksikan pasukannya tewas 1-3 di tangan pesaing mereka di laman sendiri, De Paula masih tidak tampil dalam sebarang perlawanan bersama Melaka dalam saingan MBSB Bank Championship musim ini.

Malah, skuad Hang Tuah juga sepertinya tidak memerlukan khidmatnya apabila mereka mempunyai pilihan penyerang lain yang lebih tajam di hadapan gawang iaitu anak tempatan, Fakhrul Aiman.

Jika dibandingan dengan pemain berusia 36 tahun itu yang hanya mencetak empat jaringan, bekas pemain Kuala Lumpur (KL) City itu sudah meledak enam gol buat skuad Hang Tuah di saingan Liga M3 musim ini.

Berdasarkan hantaran dari palatau_bola, De Paula difahamkan sudah dipulangkan semula ke Harimau Selatan dan dijangka bekas penyerang Selangor musim 2015-2016 itu akan kembali menyarung jersi JDT nanti.

PAULA

Meskipun rata-rata penyokong Harimau Selatan tidak menyambut baik kemunculan semula De Paula namun penyokong Indonesia mempunyai pendapat berbeza apabila berharap untuk melihat pemain Harimau Malaya itu untuk mewarnai Liga Indonesia.

"Jom datang ke kelab Indonesia, Bali United," kata penyokong negara jiran, hijrian_propeti.

"Liga 1 Indonesia, jom ambil dia main di sana," tambah seorang penyokong, yoppeslima.

Dengan Harimau Selatan yang akan membuat kemunculan keempat pada saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini, adakah kepulangan De Paula akan digunakan oleh Solari untuk kejohanan tertinggi Asia itu?

Namun hakikatnya, sehingga kini kepulangan De Paula masih menjadi khabar angin dan kelibatnya juga tidak kelihatan di padang latihan sama ada bersama skuad utama mahupun JDT II.

Malah, untuk mengatakan De Paula akan beraksi dalam saingan ACL juga adalah perkara yang mustahil berikutan Harimau Selatan pasti ingin menggunakan beberapa wajah baharu seperti penyerang Brazil, Heberty Fernande serta jeneral Jepun, Takahiro Kunimoto.

Skuad kendalian Solari itu diletakkan dalam balang 3 pada kempen kali ini bersama Hanoi FC (Vietnam), Kaya FC-Iloilo (Filipina), Melbourne City (Australia) dan Lion City Sailors (Singapura) di Zon Timur.

Pencapaian terbaik Harimau Selatan di kejohanan ACl apabila layak ke pusingan 16 yang mana ketika itu mereka tewas besar 0-5 di tangan kelab Jepun, Urawa Reds Diamond bagi saingan 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram