'Dulu diherdik, kini dicintai', 3 individu penting buat kelab masing-masing musim ini


  • Podium
  • Rabu, 23 Ogos 2023

Yusri sebelum ini dikecam hebat oleh penyokong Perak aksi susulan hambar The Bos Gaurus musim lalu.

LIGA SUPER semakin hampir menutup tirainya apabila tinggal beberapa sahaja baki perlawanan yang perlu dihadapi pasukan Liga Malaysia untuk menempatkan diri dalam kedudukan liga terbaik musim ini.

Meskipun sudah melakukan penambahbaikan dengan kemasukan import dan pemain tempatan baharu masih ada pasukan yang belum mampu mempertingkatkan prestasi semasa mereka.

Namun berbeza pula ceritanya buat penyokong Selangor FC, Terengganu FC (TFC) dan Perak FC yang semakin mengukir senyuman meskipun prestasi tidak menentu pasukan mereka di awal musim.

Senyuman itu terukir bukanlah kerana pasukan mereka kebal daripada kekalahan seperti Harimau Selatan, namun perasaan gembira itu hadir disebabkan kebangkitan individu yang dahulunya dicerca oleh penyokong.

Malah ada pemain yang bergaduh mulut bersama penyokong kerana tidak berpuas hati dengan prestasi semasa pasukan.

Majoriti senaraikan tiga individu musim ini yang dulu dibenci kini mula dihargai oleh penyokong selepas bangkit bantu pasukan:

Safuwan Baharuddin trains with Selangor during pre-season. - Photo by Selangor Football Club.

Safuwan kembali ke Selangor selepas lebih enam bulan meninggalkan pasukan itu.

1. Safuwan Baharuddin

Antara pemain nasional Singapura yang paling lama kekal beraksi dalam Liga Malaysia, Safuwan Baharuddin musim ini kembali ke Selangor selepas meninggalkan pasukan awal musim lalu dengan menyertai Negeri Sembilan FC (NSFC).

Pernah terlibat dengan insiden pergaduhan mulut bersama penyokong Selangor, sekembalinya Safuwan dalam skuad Gergasi Merah musim ini mendapat pujian orang ramai.

Ia selepas Safuwan cemerlang dalam empat perlawanan bersama Selangor lebih-lebih lagi ketika menentang JDT pada 29 Julai lalu.

Safuwan turut menutup segala kritikan yang diterimanya ketika Gergasi Merah membuat keputusan untuk membawanya kembali menyertai pasukan semasa jendela perpindahan kedua lalu.

Mamut sudah menjaringkan 10 gol dalam 16 perlawanan Liga Super bersama Terengganu. Facebook/TFC

2. Ivan Mamut

Laungan Ivan Mamut 'out' pernah bergema di ruangan sosial media selepas permulaan perlahan penyerang berusia 26 tahun itu bersama Terengganu FC.

Hampir setiap hari penyokong Terengganu meratip mahukan pihak pengurusan segera mengugurkan Mamut kerana sering mensia-siakan peluang keemasan di depan gawang gol.

Namun sejak lima perlawanan terakhir Liga Super, Mamut dilihat sudah kembali menemui sentuhan jaringannya apabila meledak enam gol serta melakukan satu assist.

Daripada laungan Mamut 'out' kini penyokong Terengganu sudah mula jatih hati dengan persembahan penyerang kelahiran Croatia itu.

Yusri berjaya menang dua aksi dalam lima perlawanan terakhir Perak FC. Facebook/Perak FC

3. Yusri Che Lah

Antara individu yang boleh dianggap 'hero' untuk Perak FC musim ini ialah Yusri Che Lah selepas berjaya melakukan kejutan ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dengan menggunakan skuad sama oleh pengendali terdahulu Lim Teong Kim.

Dalam lima perlawanan terakhir, Yusri berjaya menang dua dan tewas sebanyak tiga kali.

Namun penyokong mula memuji Yusri kerana corak peramainan yang ditampilkan anak-anak buahnya jelas sama sekali berbeza dengan apa ditampilkan semasa Datuk Lim Teong Kim (LTK) memegang jawatan itu.

Tetapi musim lalu, Yusri juga antara individu yang dikeam hebat oleh penyokong Perak selepas aksi hambar pasukan itu dalam saingan Liga Perdana.

Ia memaksa pihak pengurusan menurunkan pangkatnya untuk membimbing pasukan Perak II dalam kejohanan Piala MFL.

Yusri kini mempunyai misi tersendiri untuk cuba membawa Perak sejauh mungkin dalam kejohanan Piala Malaysia dan membantu memperbaiki kedudukan pasukan di Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram