
BINTANG Liverpool, Mohamed Salah kini dikatakan semakin hampir untuk meninggalkan kelab itu untuk beraksi di Asia.
Pemain kebangsaan Mesir itu dikatakan berada dalam potensi untuk berpindah ke Arab Saudi dengan Al-Ittihad dinamakan sebagai destinasinya.
Salah ditawarkan dengan nilai gaji yang amat lumayan sebanyak RM1.1 bilion ($240 juta) berserta kontrak selama tiga tahun, Salah dikatakan sudah menerima tawaran tersebut sekali gus menjadikan dia pemain termahal dalam saingan domestik Arab Saudi.
Namun, status perpindahan masih lagi belum jelas kerana walaupun Salah dan Al-Ittihad sudah bersetuju untuk bersama mereka, Liverpool dengan tegasnya menyatakan pemain itu bukan untuk dijual.
Malah, sebelum ini, ejen kepada Salah iaitu Ramy Abbas secara terbuka menyatakan yang pemain itu tidak akan meninggalkan Liverpool atas faktor sudah menerima lanjutan kontrak pada musim lepas.
Lanjutan kontrak itu telah membuatkan Salah kini merupakan penerima gaji tertinggi dalam skuad Liverpool dengan jumlah sebanyak RM2 juta seminggu (£350 ribu).
Walaupun The Reds begitu jelas tidak mahu melepaskan Salah, tetapi kelab itu masih lagi membuka pintu rundingan bersama-sama Al-Ittihad.
Kemahuan kelab Arab Saudi itu untuk mendapatkan pemain Mesir tersebut adalah jelas, tetapi masa semakin suntuk untuk kelab itu memastikan perpindahan ini berjaya.
Dari perspektif Salah, pemain itu dilihat begitu tertarik dengan perpindahan ke Al-Ittihad kerana faktor Arab Saudi sebagai sebuah negara Muslim. Selain itu, keberadaan bekas penyerang Real Madrid iaitu Karim Benzema di pasukan yang sama turut memainkan peranan.
Tetapi untuk Liverpool, mereka tidak sanggup untuk melepaskan Salah kerana pemain tersebut merupakan nadi utama serangan The Reds sambil mereka sudah kehilangan dua bintang yang berpindah ke Arab Saudi.
Sebelum ini, bekas ketua pasukan, Jordan Henderson dan juga Fabinho meninggalkan Liverpool pada awal musim ini untuk menyertai saingan domestik Arab Saudi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram