Dipaksa duduk ceruk stadium, 'fans' Ulsan Hyundai mahu penyokong JDT rasa balik 'ubat' bila datang Korea


  • Podium
  • Jumaat, 25 Ogos 2023

JDT mencatatkan kemenangan berganda ke atas Ulsan Hyundai pada saingan ACL musim lalu. — AFC

KEPUTUSAN undian Liga Juara-Juara AFC (ACL) ibarat deja vu buat wakil negara, Johor Darul Takzim (JDT) yang akan kembali bertemu dua pasukan dihadapi mereka dalam peringkat kumpulan.

Pada edisi lalu, JDT diundi bersama-sama Kawasaki Frontale (Jepun) dan Ulsan Hyundai (Korea Selatan) di peringkat kumpulan. Musim ini, mereka sekali lagi bakal bertemu dengan dua kelab tersebut apabila diundi juga dengan wakil Thailand, BG Pathum United.

Pertemuan semula ini amat dinanti-nantikan oleh terutamanya penyokong Ulsan Hyundai kerana ia adalah peluang terbaik buat mereka membalas dendam terhadap JDT.

Tetapi, kenapa mereka begitu bersemangat untuk membalas dendam terhadap JDT? Jika diberikan konteks, Harimau Selatan dilihat 'bertanggungjawab' kepada penyingkiran Ulsan Hyundai dari peringkat kumpulan ACL musim lalu.

Kemenangan berganda yang diperoleh JDT ke atas Ulsan Hyundai dalam peringkat kumpulan menafikan peluang mereka ke pusingan kalah mati dengan Harimau Selatan dan Kawasaki Frontale lolos ke peringkat seterusnya.

ulsan

JDT dan Ulsan Hyundai bertemu di peringkat kumpulan ACL musim lalu. — AFC

Menjengah ke laman Ulsan Hyundai, rata-rata penyokong mereka mahu dendam dibalas kepada JDT atas kekalahan yang ditanggung pada musim lalu.

Jelas sekali, tumbang kepada wakil Malaysia adalah satu perkara memalukan dalam sejarah Ulsan Hyundai. Oleh itu, dendam itu perlu dilangsaikan musim ini.

"Ayuh tewaskan mereka semua! Kita patut balas dendam terhadap JDT dan menang!," kata penyokong dengan nama rlocks7.

"Saya ingatkan saya lihat kepada undian tahun lepas, jom balas dendam!," tulis nygging pula.

"Mari kita balas dendam dekat JDT!," ujar lee_sang_hyuk_ulsan0809.

Namun begitu, dendam penyokong Ulsan Hyundai terhadap JDT bukan terhenti di situ sahaja. Mereka juga berharap agar pihak kelab memberikan tempat duduk paling 'hina' kepada peminat JDT yang bertandang ke Ulsan Munsu Football Stadium.

Hal ini kerana, ketika pertemuan sebelum ini di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), peminat Ulsan Hyundai diletakkan dekat sudut tingkat paling atas dengan jumlah tiket terhad bagi penyokong pelawat.

ulsan-munsu-soccer-stadium_1581079885

Ulsan Munsu Football Stadium merupakan gelanggang rasmi Ulsan Hyundai. — Agensi

Ia seakan-akan sama seperti apa yang didakwa haters terhadap JDT sering lakukan kepada penyokong pasukan pelawat setiap kali mereka ke SSI untuk aksi Liga Super.

Oleh demikian, penyokong Ulsan Hyundai mahu peminat JDT yang bertandang ke Korea Selatan merasai semula 'ubat' diterima mereka sewaktu ke SSI sebelum ini.

"Kalian tak ingat apa yang jadi tahun lepas? Penyokong JDT (nanti), letakkan mereka di sudut tingkat tiga stadium supaya saya boleh duduk tengok bola dengan aman tanpa perlu bersesak-sesak," kata penyokong bernama iam_do0.

"Berikan tempat duduk penyokong pasukan pelawat di bahagian sudut atas dan padang latihan yang jauh daripada stadium," ujar iamdaehee.

"Penyokong JDT akan menyesal kerana masuk ke kandang harimau (stadium Ulsan Hyundai). Mereka akan gerun melihat 30 ribu penyokong bersatu menyanyikan chant. Kalau berani, marilah!," komen alexseyoon2022 pula.

Untuk rekod, Ulsan Munsu Football Stadium merupakan gelanggang yang mempunyai kapasiti sebanyak 43,554 tempat duduk. Stadium ini adalah salah sebuah lokasi sewaktu Korea Selatan menjadi tuan rumah Piala Dunia bersama-sama Jepun pada 2002. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram