KERINDUAN penyokong Selangor FC untuk melihat kelincahan pemain sayap, Faisal Halim di atas padang bakal berakhir apabila dia dijangka kembali beraksi ketika menentang Kelantan FC dalam saingan Liga Super 2023 pada Jumaat.
Pastinya, ramai penyokong menjangkakan aksi 'siuu' bakal digayakan oleh pemain bersosok kecil itu di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan.
Dengan kembalinya pemain kebangsaan itu daripada penggantungan ke skuad Gergasi Merah, pastinya memberikan kelegaan terutamanya kepada Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe dan pasukan Selangor.
Hal ini kerana, musim ini, Faisal menjadi tunjang utama skuad bimbingan Cheng Hoe apabila meledak lapan gol dan mencatat lapan assist dalam 18 perlawanan Liga Super.
Tonggak Selangor FC, Faisal Halim. — Instagram/faisalhalim.7
Sebelum ini, Faisal dikenakan hukuman penggantungan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selama empat bulan susulan kenyataan media yang dibuat olehnya selepas menentang Sabah pada 27 April yang lalu.
Hukuman penggantungan itu berlangsung sebulan dahulu, bermula 25 Julai sehingga 23 Ogos, manakala bakinya ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baik pemain berusia 25 tahun itu selama setahun bermula 24 Ogos.
Tentunya kehadiran semula tonggak berusia 25 tahun itu selepas penggantungan pastinya sedikit memberi nafas lega buat penyokong Gergasi Merah.
Bagaimanapun, rata-rata penyokong Gergasi Merah memberi peringatan agar pemain sayap lincah itu mengunci mulut usai setiap perlawanan berakhir bagi mengelakkan pisang tidak berbuah dua kali.
"Baguslah Faisal Halim dah boleh main, tak payah dah buat statement bagai, kasi score gol banyak-banyak kalau boleh dan menangkan Selangor. Tu saja boleh buat pihak lawan koyak rabak," kata Hisham Mohd Nor.
"Lepas ni jangan layan interview wartawan, jawab saja no komen," kata Muhammad Rohib Rohib.
"Tuan FH7..elakkan diwawancara oleh wartawan. Pengurusan sila halang wartawan," kata Su Ma Lee.
"Lepas ni fokus saja pada permainan, tiada apa-apa statement lagi baik," kata Aznol Zidane.
Untuk rekod, Faisal atau dikenali dengan panggilan Mickey itu terlepas tiga aksi Liga Super serta dua perlawanan Piala Malaysia berikutan hukuman penggantungan tersebut.
Selangor FC kekal menduduki tangga kedua Liga Super dengan mengutip 46 mata selepas 21 perlawanan berlangsung. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram