'Thailand, Vietnam jauh tinggalkan kita', S Balachandran harap FAM ambil langkah pertama tukar jurulatih


  • Podium
  • Jumaat, 25 Ogos 2023

Skuad B-23 negara tersingkir daripada saingan Piala AFF B-23 selepas tewas kepada Vietnam. — Facebook/FAM

KEKALAHAN kepada Vietnam pada Khamis menyaksikan skuad Harimau Malaya Bawah 23 Tahun (B-23) masih gagal untuk menempah slot ke pusingan akhir Kejohanan Piala AFF B-23.

Meskipun mudah menamatkan peringkat kumpulan di tangga teratas, pasukan negara dilihat terlalu mudah diatasi juara bertahan itu apabila dibolosi seawal minit kelapan permainan.

Persembahan kurang memberangsangkan itu diteruskan sepanjang separuh masa pertama sehingga membolehkan Vietnam mendapatkan kelebihan tiga gol.

Walaupun defisit itu dikurangkan dengan jaringan Alif Ikmalrizal pada minit ke-49, skuad kendalian E Elavarasan masih tidak mampu mengatasi lawan mereka itu apabila mereka sekali lagi dibolosi untuk memuktamadkan keputusan 1-4.

Keputusan berkenaan menyaksikan skuad negara terpaksa melupakan hasrat untuk memenangi kejohanan berkenaan selepas berkali-kali melakukan percubaan.

Penyingkiran itu menyaksikan penyokong bola sepak tanah air mempersoalkan kebolehan pasukan muda negara yang dirasakan tidak selari dengan perkembangan skuad senior.

369785595_1000378847702018_8505627427514795688_n

Elavarasan (dua dari kiri) diberi tekanan oleh penyokong bola sepak tanah air. Facebook/FAM

Selain gagal merangkul trofi Piala AFF B-23, Harimau Malaya B-23 turut menampilkan aksi mengecewakan ketika Sukan SEA Mei lalu apabila mereka tersingkir di peringkat kumpulan.

Jadi, desakan mula dibuat terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mengharapkan agar perubahan dapat dibuat dengan segera bermula dengan pertukaran ketua jurulatih.

Tetapi, bagi bekas pengendali skuad B-17 negara, S Balachandran, Elavarasan tidak boleh dipersalahkan atas pencapaian kurang memberangsangkan sehingga menyaksikan mereka ditunjukkan jalan keluar.

"Kalau hendak dibandingkan dengan Thailand atau Vietnam, memang pembangunan mereka memang sudah jauh meninggalkan kita. Mungkin mereka dah setaraf Jepun atau Korea Selatan.

"Pembangunan mereka dari segi sekolah sukan juga sudah lebih banyak. Kita perlu bermula daripada peringkat awal bermula dari umur tujuh, lapan tahun," katanya kepada Majoriti.

Tan-Cheng-Hoe

Balachandran (kanan) ketika menjadi pembantu kepada Cheng Hoe. Facebook/FAM

Sebelum ini, Balachandran pernah berpeluang membimbing skuad muda negara selain diberikan peranan pembantu jurulatih dalam Harimau Malaya di bawah kendalian Tan Cheng Hoe.

Di samping itu, pengendali terbabit juga pernah menimba pengalaman dalam Liga Super apabila membimbing Sarawak United ketika penghujung musim lalu.

Dalam masa sama, Balachandran turut berkata, program pembangunan tidak boleh diharapkan kepada FAM sahaja memandangkan ia juga memerlukan kerjasama pelbagai pihak.

"Secara keseluruhan, di peringkat negeri dan kelab, kita perlu sokongan yang baik untuk lahirkan pemain terbaik untuk skuad negara," jelasnya.

Selepas ini, skuad B-23 akan berdepan Thailand dalam perlawanan penentuan tempat ketiga sebelum perlu bersedia untuk kempen kelayakan Piala Asia B-23 yang akan bermula pada 6 September menentang Bangladesh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram