Tak nak pulang hampa, kapten Harimau Muda sasar bawa pulang tempat ketiga


  • Podium
  • Jumaat, 25 Ogos 2023

Harimau Muda terkandas di separuh akhir Piala AFF B-23 selepas kalah kepada Vietnam. — Facebook/FAM

SELEPAS hampa tidak berjaya layak ke perlawanan akhir Piala AFF B-23, kini fokus untuk Malaysia adalah memastikan posisi tempat ketiga berjaya diraih.

Skuad Malaysia hampa selepas kalah 1-4 kepada Vietnam dalam aksi separuh akhir. Dengan kekalahan tersebut, Harimau Muda perlu berdepan tuan rumah iaitu Thailand yang tewas kepada Indonesia di peringkat sama.

Ketua pasukan skuad B-23 negara, Ubaidullah Shamsul berkata, dia nyata kecewa kerana tidak berjaya layak ke perlawanan akhir seperti yang disasarkan sebelum ini.

Namun begitu, semangat rakan-rakan masih lagi kuat untuk memburu kedudukan ketiga sekali gus menamatkan kempen Piala AFF B-23 dengan nota positif.

"Semestinya, rasa kecewa itu ada sebab tak layak ke perlawanan akhir. Tapi, moral rakan sepasukan berada dalam keadaan yang baik.

"Saya percaya, rakan-rakan bersemangat untuk perlawanan seterusnya (menentang Thailand) sebab perlawanan ini penting untuk kita pulang, walaupun sebagai pasukan (di) tempat ketiga, sekurang-kurangnya kita ada pencapaian," kata Ubaidullah.

Menurut Ubaidullah, dia dan rakan-rakan akan meneruskan persiapan seperti biasa untuk berdepan Thailand. Akan tetapi, pemain Terengganu FC ini mengakui isu fokus ketika beraksi adalah perkara yang perlu diatasi.

369683687_1000378794368690_318393763487101084_n

Vietnam nyata terlalu sukar untuk Harimau Muda hadapi di separuh akhir Piala AFF B-23. — Facebook/FAM

"Bagi saya, persediaan itu macam biasa. Kita ikut perancangan yang telah ditetapkan oleh jurulatih. Cuma, kami perlu lebihkan fokus dan kerja keras untuk perlawanan bertemu Thailand.

"Semua ini sebab Thailand adalah pasukan yang kuat dalam kejohanan ini dan kami berharap dapat berikan yang terbaik untuk perlawanan ini," ujar Ubaidullah.

Thailand kalah kepada Indonesia dengan jaringan 1-3 sekali gus menafikan peluang tuan rumah untuk bergelar juara.

Skuad kendalian E. Elavarasan boleh menebus maruah mereka dengan menewaskan Thailand dalam aksi penentuan tempat ketiga yang dijadualkan pada Sabtu jam 5 petang waktu Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram