Prospek JDT disamakan Roberto Baggio, fans luar label Najmudin kunci kekuatan B23


  • Podium
  • Khamis, 24 Ogos 2023

Penampilan Najmudin ketika mengikat rambut dengan dia disamakan seperti Baggio.

NAMA pemain muda Johor Darul Takzim (JDT), Najmuddin Akmal semakin meniti di bibir peminat selepas mempamerkan persembahan cemerlangnya bersama skuad simpanan Harimau Selatan di Piala MFL dan sebahagian daripada skuad Harimau Muda.

Khidmat graduan Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) itu juga kini sedang diguna bersama skuad Bola Sepak Bawah 23 tahun (B-23) tanah air bagi memburu Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Thailand.

Kelibatnya bersama skuad kendalian E Elavarasan itu semakin mencuri tumpuan apabila ada pihak yang menyamakan penampilannya seperti legenda bola sepak Itali, Roberto Baggio.

Menerusi laman Facebook rasmi Kejohanan Piala AFF B-23, mereka memuat naik gambar Najmudin menyarung jersi Harimau Malaya sambil rambutnya diikat seperti Baggio ketika zaman kemuncaknya sebagai seorang pemain bola.

WhatsApp Image 2023-08-24 at 16.44.16-2

Baggio bersara sebagai pemain bola sepak profesional pada 2004 di usia 39 tahun. — Agensi

“Najmudin Akmal dengan gaya Roberto Baggio,” kata laman Facebook itu.

Rentetan daripada hantaran tersebut, ramai penyokong luar negara mula memberi perhatian terhadap Najmudin sehingga ada yang mengatakan bahawa pemain berusia 20 tahun itu merupakan tonggak utama skuad B-23 tanah air.

“Ini si rambut panjang adalah kunci kekuatan skuad kebangsaan Malaysia,” kata penyokong Indonesia, Yayan Taufiq.

“Dia ini perlu diawasi, pemain berbahaya Malaysia. Jangan pandang rendah dengan dia,” kata seorang lagi peminat, Eman Sulaeman.

“Serius pemain ini staminanya sangat bagus,” puji penyokong luar negara, Humaidi.

WhatsApp Image 2023-08-24 at 16.44.16

Najmudin antara pemain yang sering menjadi kesebelasan JDT II. — Facebook/JDT

Sekiranya Najmudin kekal diberikan peluang menunjukkan kualitinya, dia yang bijak mencari ruang sebagai penyerang itu dipercayai mampu mencipta nama seperti Baggio.

Najmudin mula mencuri tumpuan apabila diletakkan dalam senarai menunggu Harimau Malaya pada saingan King’s Cup 2022 di Chiangmai, Thailand.

Untuk rekod, Najmudin ialah seorang watak utama skuad B-19 negara kendalian Hassan Sazali Waras yang muncul juara saingan Piala AFF B-19 tahun di Indonesia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram