Taktikal Elavarasan hancurkan impian ke final AFF, fans persoal Fergus Tierney jadi pemain gantian


  • Podium
  • Khamis, 24 Ogos 2023

Tierney masuk sebagai pemain gantian pada aksi bertemu Vietnam. — Facebook/FAM

HASRAT untuk membawa trofi Piala AFF Bawah 23 (B-23) di bulan kemerdekaan tidak dapat direalisasikan Harimau Muda selepas tewas 1-4 di tangan Vietnam dalam aksi separuh akhir di Stadium Rayong, Thailand pada Khamis.

Skuad kendalian E. Elavarasan terkedu selepas pasukan lawan membolosi empat gol di gawang Harimau Muda dan sekali gus membuktikan Vietnam sememangnya pasukan terkuat di Asia Tenggara.

Pada separuh masa perlawanan, kucar-kacir di bahagian pertahanan skuad kebangsaan membuka peluang kepada pasukan Vietnam untuk melakukan banyak percubaan di gawang Rahadiazli Rahalim.

Ketika pertahanan negara cukup leka, pemain Vietnam, Dinh Xuan Tien berhasil meledak jaringan pertama untuk pasukannya pada minit kelapan perlawanan.

Anak-anak buah Hoang Anh Tuan terus menggembirakan penyokong mereka apabila Nguyen Quoc Viet berhasil membuat rembatan cukup baik pada minit ke-32 menewaskan Rahadi.

Pemain jersi nombor sembilan iaitu Xuan Tien menjadi tetamu yang sukar dikawal Harimau Muda apabila mencetak gol kedua dan sekali gus membuatkan jurang besar untuk Malaysia.

Bersambung babak kedua, anak-anak buah Elavarasan tampil lebih banyak membuat percubaan dengan kehadiran Fergus Tierney sebagai pemain gantian banyak membantu di bahagian depan Malaysia.

first 11

Kesebelasan utama Harimau Muda menentang Vietnam. — Facebook/FAM

Skuad kebangsaan akhirnya memecahkan kebuntuan jaringan apabila hantaran dari Aliff Izwan disudahkan menerusi tandukan Alif Ikmalrizal pada minit ke-49.

Jaringan pertama itu memberi harapan pada separuh masa kedua Harimau Muda namun ia tidak bertahan lama apabila Vietnam menambah jaringan pada akaun menerusi Nguyen Hong Phuc pada minit ke-85.

Kekalahan tersebut menaikkan kemarahan penyokong dan rata-rata mereka sekali lagi mempersoal kedudukan Elavarasan sebagai pengendali Harimau Muda.

“Tukar jurulatihlah. FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) target nak masuk Olimpik Paris 2024 dan AFC 2023 tapi coach tiada pengalaman antarabangsa. Tangkap muat. Sejak Sukan SEA dah mengarut. Dia masukkan yang tidak relevan dan tukar posisi pemain. Baik Datuk Ong Kim Swee yang pegang,” kata penyokong, Sam Urye.

“Masih belum terlambat cari jurulatih baharu. Kalau masih kekal coach Ela ini, kita hanya mampu lihat Thailand, Vietnam dan Indonesia di AFC B23 2024,” komen penyokong, Karunia.

Tidak kurang juga ada yang mempersoalkan keputusan Elavarasan yang memasukkan penyerang JDT II, Tierney sebagai pemain gantian dan bukannya di kesebelasan utama.

Sebelum ini, skuad kendalian Elavarasan terpaksa pulang awal dari Sukan SEA Kemboja 2023 selepas tewas 1-2 kepada Vietnam dalam aksi ketiga Kumpulan B di Stadium Prince, Phnom Penh, Kemboja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram