TEMPOH jendela perpindahan sememangnya waktu yang mengujakan untuk mana-mana penyokong kelab bola sepak di dunia ini.
Mana tidaknya, inilah waktu pasukan kegemaran akan membeli-belah cuba mendapatkan pemain baharu bagi menguatkan skuad yang sedia ada.
Ada satu ketika, sesebuah pasukan berbelanja besar seperti yang dilakukan oleh Nottingham Forest pada musim 2022/2023. Ketika itu, kelab England tersebut membeli 22 pemain dalam satu jendela perpindahan.
Ada kelab yang hanya membeli beberapa pemain sahaja tetapi terdapat juga pasukan langsung tidak berbelanja hingga mengecewakan penyokong. Pada mereka, kelab seolah-olah tidak berusaha untuk membaiki skuad yang ada apabila tidak membeli pemain baharu.
Dan itulah yang berlaku terhadap kelab Sepanyol, Malaga, apabila mereka tidak membeli sebarang pemain pada jendela perpindahan musim panas yang sedang berlangsung.
Para penyokong kelab divisyen tiga Sepanyol ini terlalu kecewa kerana pihak pengurusan tidak cuba untuk mendapatkan pemain baharu hingga mereka membuat sesuatu yang tidak diduga semua.
Satu rakaman tular apabila sekumpulan penyokong Malaga berkumpul di lapangan terbang dan menyambut penumpang secara rawak dan meraikan mereka seolah-seolah sebagai pemain baharu kelab sebagai 'mangsa'.
Sambutan itu cukup meriah dibuat dan seakan real dengan penyokong beramai-ramai menyarung jersi Malaga sambil menyanyikan chant kelab dan mengajak 'mangsa' bergambar serta memberikan autograf.
Malah, penyokong-penyokong ini juga melakukan sesi temuramah bersama-sama 'mangsa' dan turut meminta mereka menimang bola seperti yang selalu dilakukan ketika sesi pengenalan pemain baharu.
Untuk menampakkan sambutan ini lebih real, ada penyokong yang turut mengenakan pakaian seperti seorang pengawal keselamatan dan pemilik Malaga itu sendiri iaitu Sheikh Abdullah Al Thani.
Sheikh Abdullah Al Thani merupakan pemilik Malaga yang tidak disenangi peminat. — Malaga CF
Rakaman ini sebenarnya berlaku pada Julai namun kembali tular apabila penyokong Malaga begitu kecewa dengan Al Thani yang tidak agresif membaiki pasukan. Malah, itu bukanlah 'dosa' pertama pemilik dari Qatar itu dengan mereka.
Sejak mengambil alih kelab pada 2010, Al Thani bertanggungjawab kepada kejatuhan Malaga ke divisyen tiga Sepanyol. Lebih perit, ia berlaku 10 tahun selepas kelab itu pernah layak ke suku akhir UEFA Champions League.
Malaga pernah sampai ke suku akhir UEFA Champions League pada 2013 sebelum disingkirkan oleh Borussia Dortmund. — Agensi
Namun kini penyokong Malaga boleh menarik nafas lega apabila kelab sudah mula mendapatkan pemain-pemain untuk musim baharu. Mereka telah berhasil mendapatkan tiga pemain iaitu Nelson Monte, Juanpe dan Juan Hernandez bagi menguatkan pasukan.
Malaga akan memulakan saingan divisyen tiga Sepanyol pada 27 Ogos dengan bertemu Castellon di gelanggang lawan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram