Sudah tak relevan, ada 3 sebab kenapa KPG tak perlu panggil Junior Eldstal


  • Podium
  • Rabu, 23 Ogos 2023

Panggilan Junior Eldstal ke skuad kebangsaan telah membangkitkan pertikaian antara penyokong. — Facebook/Junior Eldstal

PENGUMUMAN panggilan pemain untuk kem latihan pusat Harimau Malaya bagi dua aksi menentang Syira dan China telah menarik perhatian ramai penyokong.

Apa yang menjadi tumpuan adalah nama Faisal Halim yang sekali lagi dipanggil oleh Kim Pan-gon (KPG) selepas pemain tersebut digantung oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atas kesalahan tatatertib yang dilakukannya sebelum ini.

Antara nama-nama lain yang dipanggil adalah Arif Aiman Hanapi (Johor Darul Takzim), Stuart Wilkin (Sabah FC) dan Paolo Josue (Kuala Lumpur City FC) yang sebelum ini cemerlang buat Harimau Malaya.

Terdapat juga nama-nama seperti Shamie Iszuan (Sri Pahang FC) dan Dion Cools (Buriram United) yang kembali dipanggil untuk menguatkan lagi skuad kebangsaan.

faisal

Faisal Halim akan kembali beraksi selepas menjalani hukuman oleh FAM. — Facebook/FAM

Akan tetapi, ada satu nama yang menjadi bualan ramai penyokong Harimau Malaya selepas pengumuman dilakukan pihak FAM di laman media sosial mereka. Nama tersebut adalah Junior Eldstal.

Panggilan yang diberikan kepada Eldstal tidak disenangi oleh penyokong Harimau Malaya walaupun senarai tersebut masih lagi belum diputuskan secara muktamad dek kerana akan ada berlaku perubahan.

Ada penyokong yang mempersoal mengapa Eldstal tetap dipanggil sedangkan ada pemain lain yang lebih baik boleh dibawa masuk ke skuad kebangsaan.

"Junior ni dah tak relevan dah. Baik panggil pemain muda (untuk) diketengahkan, (pemain) bawah 23 tahun ke untuk masa depan Malaysia," kata Rosli Yusof.

"Junior Eldstal tu, buat apalah ambil (dia)?," soal Syahrizal Roslan.

"Junior dah tak relevan lagi. Mungkin KPG pilih sebab dia besar atau tinggi. Pertahanan kena ada ketinggian juga untuk tewaskan pemain lawan. Nak harapkan Dion Cools seorang je tinggi tak boleh juga," ulas Aisar Fadil.

Ramai yang mempertikai panggil KPG terhadap Eldstal dan apa yang disuarakan itu mungkin ada benarnya. Di sini, Majoriti sediakan tiga sebab kenapa Eldstal tidak sepatutnya dibawa ke China untuk aksi persahabatan kelak.

1. Kekurangan minit permainan

Umum mengetahui yang Eldstal kini sudah tidak bersama-sama Johor Darul Takzim (JDT) selepas pemain itu dipinjamkan ke kelab Indonesia iaitu Dewa United.

Perpindahan itu mencuri tumpuan semua apabila melihat pemain negara beraksi di negara jiran. Namun begitu, baik kita atau penyokong Dewa United masih belum dapat menyaksikan aksi Eldstal.

eldstal

Junior Eldstal sebelum ini terlibat dengan dua aksi pasukan kebangsaan di Terengganu. — Facebook/Junior Eldstal

Hal ini kerana, pemain itu mempunyai minit permainan yang teramat terhad bersama kelab Indonesia itu. Menurut data dari laman Transfermarkt, Eldstal hanya bermain selama dua minit untuk Dewa United sepanjang dipinjamkan ke sana.

Ini menimbulkan keraguan mengenai ketajaman Eldstal yang mungkin sudah mula tumpul kerana kurang beraksi perlawanan kompetitif.

2. Rekod kecederaan

Satu perkara lagi yang menjadi keraguan adalah rekod kecederaan yang dialami oleh Eldstal sepanjang kariernya.

Walaupun Eldstal merupakan seorang pemain berbakat, namun rekod kecederaannya adalah tidak begitu baik dan ini menyebabkan pemain tersebut sering berehat panjang dan terlepas banyak perlawanan.

Malah, sebelum tiba ke Dewa United pun Eldstal masih lagi terpalit dengan kecederaan. Walaupun sekarang ini sudah pulih, namun pemain tersebut masih lagi belum mendapat peluang untuk menonjolkan bakat sebenarnya di Indonesia.

Pastinya timbul kerisauan mengenai kecederaan Eldstal dan jika dia diturunkan dengan tergesa-gesa, ia boleh menganggu tahap kecergasan pemain tersebut.

3. Sudah off-peak

Satu lagi perkara yang menjadi pertikaian terhadap pemilihan Eldstal adalah kerana pemain itu sendiri sudah melepasi tahap terbaiknya atau off-peak.

Prestasi yang sudah lama merudum telah membuatkan Eldstal bukan lagi pemain yang boleh dijadikan sandaran untuk mengemudi barisan pertahanan skuad kebangsaan.

Dengan kemunculan pemain-pemain pertahanan baharu yang berpotensi seperti Feroz Baharudin dan Harith Haiqal telah memberikan pilihan yang berbeza untuk KPG. Secara tak langsung, ia sedikit sebanyak telah membuatkan Eldstal tidak relevan kerana ada pemain lain yang lebih baik berbandingnya.

feroz

Feroz Baharudin antara pertahanan muda yang sedang meningkat naik. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Akan tetapi, jika hendak mengambil kira faktor pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa, Eldstal memenuhi kriteria itu dan ia mungkin yang dicari KPG untuk bahagian pertahanan negara.

Seandainya berjaya dibawa ke China, diharapkan Eldstal mampu memberikan persembahan yang cemerlang untuk membuktikan yang dirinya layak untuk diterbangkan ke Qatar pada Januari 2024 bersama pemain-pemain lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram