'Mungkin Lee Tuck bersara main Malaysia', 2 pemain masih kempunan dipanggil KPG


  • Podium
  • Khamis, 24 Ogos 2023

Lee Tuck sudah mencetak tiga jaringan gol dalam sembilan penampilan bersama Harimau Malaya. — Facebook/FAM

AKSI Harimau Malaya kembali lagi memeriahkan penyokong bola sepak domestik pada September ini dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah menyediakan dua pasukan iaitu Syria dan China untuk beradu kekuatan dengan skuad kebangsaan.

Sehubungan dengan itu, badan induk bola sepak tanah air tersebut sudah memanggil 26 pemain ke kem latihan di bawah kendalian Kim Pan-gon untuk menghadapi dua aksi antarabangsa Tier 1 yang akan diadakan pada 6 dan 9 September 2023 di Chengdu, China.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan FAM, pengendali dari Korea Selatan itu mengekalkan seramai 15 daripada 26 pemain yang dipanggil pada kem latihan pusat sebelum ini di Kuala Terengganu, Terengganu pada Jun 2023.

Baki 11 pemain lain terdiri daripada tujuh pemain dari kem Mac 2023 yang tiada sesama kem Jun 2023 iaitu kapten pasukan, Dion Cools, dua penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dan Damien Lim, Darren Lok, Quentin Cheng, Brendan Gan dan Nor Azam Abdul Azih.

hong wan

Hong Wan antara pemain muda yang semakin menyinar di saingan domestik. — Facebook/JDT

Manakala, tiga pemain dari skuad Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 iaitu Sharul Nazeem Zulpakar, Sergio Aguero dan Nur Shamie Iszuan Amin serta Nathaniel Shio Hong Wan yang dipanggil untuk kali pertama tahun ini juga akan menguatkan skuad kebangsaan.

Walaupun barisan kejurulatihan memanggil beberapa wajah baharu, masih ada penyokong yang tercari-cari khidmat tonggak sebelum ini iaitu bintang naturalisasi, Lee Andrew Tuck.

Selain daripada Lee Tuck, ada juga dua pemain yang masih ditunggu-tunggu untuk menyarung jersi Harimau Malaya namun sehingga kini khidmat mereka belum menarik perhatian Pan-gon.

Termasuk Lee Tuck yang dicari-cari penyokong, terdapat juga dua pemain masih kempunan untuk mendapat panggilan skuad kebangsaan dan masih diharapkan penyokong untuk beraksi di bawah Pan-gon;

1) Lee Tuck

lee tuck

Sehingga kini, Lee Tuck masih belum berkongsi punca sebenar tinggalkan Kedah. — Facebook/KDAFC

Sejak Lee Tuck membuat keputusan meninggalkan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada jendela perpindahan Julai lalu, pemain berusia 35 tahun itu masih berstatus tanpa kelab meskipun ramai khabar angin mengaitkannya dengan kelab lain.

Bukan hanya tidak kelihatan pada saingan liga domestik, malah pemain tengah itu juga difahamkan sudah pulang ke kampung halamannya selepas Lee Tuck dilihat memuat naik fotonya sedang bersiap sedia untuk kembali ke England di Instagram.

Disangka akan kembali bila mendapat seruan negara, namun nama Lee Tuck juga tidak tersenarai dalam 26 pemain sehingga ada yang mula membuat spekulasi bahawa bekas pemain Sri Pahang itu sudah bersara dari bola sepak tanah air.

Sekiranya bekas pemain Terengganu FC (TFC) itu memilih untuk bersara dari Malaysia, ia sedikit sebanyak memberi impak kepada Pan-gon berikutan Lee Tuck antara wajah utama skuad kebangsaan sejak dia membuat penampilan pertama pada aksi Disember 2022.

Lee Tuck boleh dikategorikan sebagai seorang pemain versatil yang mana berkemampuan untuk diturunkan di mana-mana posisi menyerang, termasuk sekiranya diarahkan untuk menjadi pemain sayap.

2) Afiq Fazail

afiq fazail

Afiq antara pemain impian penyokong untuk beraksi bersama skuad kebangsaan. — Facebook/JDT

Pemain tengah Harimau Selatan, Afiq Fazail antara nama kegemaran penyokong untuk bermain dalam pasukan Harimau Malaya namun sehingga kini tonggak berusia 28 tahun itu masih berada dalam senarai simpanan.

Seperti panggilan sebelum ini, tonggak tengah Harimau Selatan itu diletakkan dalam Senarai Bersedia bersama 19 pemain lain dan akan mendapat peluang sekiranya ada perubahan pada senarai asal.

Digambarkan sebagai seorang pemain yang bijak dan mempunyai rembatan padu, tonggak kelahiran Johor itu dianggap mampu menghidupkan bahagian tengah untuk Harimau Malaya seperti peranannya di Harimau Selatan.

Kali terakhir Afiq menyarung jersi Harimau Malaya adalah ketika kelayakan Piala Dunia Zon Asia pada November 2019 yang mana ketika itu skuad kebangsaan berada di bawah sentuhan Tan Cheng Hoe.

3) Shahrul Nizam

shahrul

Shahrul diberi kepercayaan untuk mengetuai skuad Sang Penyu. — Facebook/TFC

Bek tengah skuad Sang Penyu, Shahrul Nizam yang patutnya membuat debut pertama bersama skuad Harimau Malaya terpaksa digugurkan selepas dia tidak dapat dihubungi kerana berada di laut ketika itu.

Shahrul Nizam ketika itu sepatutnya bersama skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe yang sudah pun berlepas ke Jordan bagi mengharungi dua aksi persahabatan menentang Jordan pada 6 Oktober dan Uzbekistan pada 2021.

Sejak kejadian tersebut, pemain berusia 25 tahun itu masih tidak mendapat kaps bersama Harimau Malaya dan hanya diletakkan dalam Senarai Bersedia seperti panggilan skuad kebangsaan kali ini.

Merupakan pemain kaki kidal, Shahrul Nizam terkenal dengan jolokan kereta kebal TFC musim ini dan dia turut mendapat kepercayaan untuk menjadi ketua pasukan skaud Sang Penyu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram