Demi Aaira, 5 tahun lalu Syafiq Ahmad tekad tewaskan Samurai Biru


  • Podium
  • Khamis, 24 Ogos 2023

Sepanjang 37 penampilan bersama Harimau Malaya, Syafiq berjaya menjaringkan 10 gol sejak 2017.

PENYOKONG bola sepak dikejutkan dengan ketiadaan senarai pemain bintang Johor Darul Takzim (JDT), Syafiq Ahmad dalam senarai akhir 26 pemain dipanggil Ketua Jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon.

Ia sekali gus memberikan gambaran awal bahawa penyerang berusia 28 tahun itu mungkin tidak disenaraikan dalam skuad akhir Harimau Malaya dalam kejohanan Piala Asia 2023 di Qatar tahun depan.

Bersama Harimau Malaya, Syafiq sudah menjaringkan 10 gol dalam 37 penampilannya sejak 2017.

Meskipun tidak tersenarai dalam panggilan skuad kebangsaan kali ini, jasa Syafiq bersama Harimau Malaya tidak boleh dipertikai lagi apabila dia antara individu yang membawa Malaysia layak ke Piala Asia 2023.

Namun adakah anda tahu, lima tahun lalu Syafiq pernah memasang impian untuk menewaskan Jepun dalam kejohanan Sukan Asia 2018 kerana ingin memberikan hadiah sempena kelahiran cahaya mata pertamanya, Aaira Nur Safiya.

WhatsApp-Image-2020-12-06-at-10.28.11-AM-1

Syafiq bersama isteri dan anak sulungnya, Aaira. Instagram

Ketika itu, isterinya, Nur Amalina Norain selamat melahirkan Aaira ketika Syafiq berjuang membawa nama Malaysia di Sukan Asia 2018.

Syafiq berkata, dia mahu memburu kemenangan buat Aaira sekali gus bersedia menghadapi segala asakan daripada pertahanan Jepun.

"Isteri saya selamat melahirkan anak sulung kami, saya sangat bersemangat untuk cuba meraih kemenangan untuk mereka.

"Saya jangkakan perlawanan menentang Jepun tidak akan banyak berbeza dengan Korea Selatan.

"Setiap perlawanan, penyerang akan dikawal rapi. Penyerang akan menjadi kunci kepada mana-mana pasukan, jadi sebagai penyerang saya perlu beraksi dengan lebih baik berbanding aksi Korea Selatan," katanya.

Bagaimanapun, keputusan tidak menyebelahi skuad kebangsaan apabila tewas dengan keputusan 0-1 meskipun berjaya menumbangkan Korea Selatan dalam peringkat kumpulan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram