SERAMAI 26 pemain dipanggil Ketua Jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya sebagai persediaan menghadapi perlawanan antarabangsa Tier 1 bertemu Syria dan China pada awal bulan depan.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan Pan-gon mengekalkan 15 daripada 26 pemain yang dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu di Kuala Terengganu pada Jun lepas.
Bagaimanapun, nama pertahanan kental Terengganu FC, Azam Azmi Murad tidak berada dalam senarai utama skuad kebangsaan walaupun pernah mewakili Harimau Malaya.
Sebelum ini, Azam turut berada dalam senarai skuad Harimau Malaya ketika menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea pada Jun lepas.
Azam musim ini beraksi sebanyak 18 perlawanan dalam semua kejohanan Liga Malaysia dan melakukan dua bantuan jaringan gol bersama Terengganu FC (TFC).
Mukhairi (kiri) dan Harith (kanan) merupakan tonggak utama Selangor FC musim ini.
Menurut perkongsian wartawan The Star, T.Avineshwaran, Azam Azmi serta beberapa bintang muda negara yang lain tidak dipanggil oleh Kim Pan-gon kerana dalam persediaan menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia B-23 pada September ini.
"Jika anda mempersoalkan kenapa ketiadaan pemain-pemain seperti Harith Haiqal, Mukhairi Ajmal, Azam Azmi Murad dan T.Saravanan dalam senarai panggilan.
"Ini kerana pemain-pemain tersebut dijangka membarisi skuad Harimau Muda untuk mengharungi kelayakan Piala Asia B-23 yang akan berlangung pada September," ujarnya di Twitter.
Sebelum ini, empat bintang muda ini membarisi Harimau Muda dalam kejohanan dwitahunan, Sukan SEA 2023 yang menyaksikan skuad muda negara tidak berjaya layak ke pusingan kalah mati.
Skuad B-23 merekodkan dua kemenangan dan dua kekalahan sekali gus tidak layak menempatkan diri ke pusingan separuh akhir apabila tewas di tangan Thailand serta Vietnam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram