Bukan Esteban Solari, Hong Wan buka rahsia jurulatih paling 'cengey' dalam skuad JDT


  • Podium
  • Rabu, 23 Ogos 2023

Solari mula mengendalikan JDT pada awal musim 2023. — Facebook/JDT

JOHOR Darul Takzim (JDT) terus membuktikan status sebagai juara Liga Malaysia (Liga M) selepas mudah membenam pasukan Kelantan FC dengan keputusan 10-0 dalam perlawanan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Sabtu.

Namun kejayaan JDT hari ini bukanlah berlaku sekelip mata apabila mereka mengeluarkan dana yang banyak bagi melaksanakan visi dan misi projek Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Bukan sahaja melabur pada pasukan, JDT juga melakukan perancangan rapi dalam pembangunan akademi Harimau Selatan yang sudah mula menunjukkan hasil dengan kelahiran pemain seperti Arif Aiman, Feroz Baharudin, Daryl Sham dan ramai lagi.

Selain itu, JDT juga mempunyai pasukan pengurusan yang terbaik dalam pelbagai sudut seperti mencari pemain import, menguruskan pemasaran pasukan penuh efisien, menyediakan fasiliti kelab dengan kemudahan terkini dan persiapan pasukan sebelum menghadapi perlawanan.

JDT

Diet pemakanan pemain JDT dijaga oleh Vanesa. — Facebook/JDT

Tanpa semua ini JDT mungkin bukan sebuah pasukan yang disegani dalam rantau Asean dan mula melebarkan sayap di Asia.

Bercakap mengenai persiapan pasukan sebelum menghadapi perlawanan, JDT mempunyai barisan kejurulatih yang sememangnya menjaga diet dan pemakanan setiap pemain.

Menerusi laman Facebook, Penyokong Sukan Johor - PSJ ketegasan pakar nutrisi JDT, Vanesa Soledad Rotondi dalam penjagaan diet pemakanan pemain-pemain Harimau Selatan amat ditakuti.

Perkara itu dikongsikan pemain tengah JDT, Nathaniel Shio Hong Wan yang mendakwa Vanesa lebih garang dan tegas dari Esteban Solari.

Vanesa

Vanesa mula bertugas bersama JDT pada 2022. — Facebook/JDT

Vanesa merupakan bekas pakar nutrisi kelab gergasi Argentina, Boca Juniors dan kini berkhidmat di JDT.

Tugas utama Vanesa di JDT ialah menyelia diet dan nutrisi ke semua pemain di kelab, termasuk menyediakan pelan pemakanan setiap individu mengikut keperluan dari semasa ke semasa.

Jadi tidak pelik kenapa pemain-pemain Harimau Selatan sentiasa berada di tahap terbaik meskipun tidak beraksi dalam tempoh masa yang lama.

JDT kini semakin hampir untuk merangkul kejuaraan Liga Super kali ke-10 berturut-turut apabila Harimau Selatan merekodkan 20 perlawanan tanpa sebarang kekalahan dan hanya bolos empat kali musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram