Tiada hiburan lain antara 3 sebab bola sepak tempatan lebih meriah di Utara, Pantai Timur


  • Podium
  • Rabu, 23 Ogos 2023

Kelab Selangor FC tetap memiliki penyokong tegar tersendiri iaitu Ultras Sel. — Selangor FC

DALAM kehidupan manusia, apa saja perkara tidak boleh dipisahkan dengan politik. Baik dalam hal pekerjaan atau kehidupan bermasyarakat secara umum, politik memang tidak akan pergi jauh meninggalkan kita.

Begitu juga dalam bola sepak, politik tidak dapat dilarikan dengan sukan paling diminati oleh rakyat Malaysia dan penduduk bumi ini.

Namun dalam konteks Malaysia, adakah politik memberikan pengaruh yang besar kepada sokongan terhadap sesebuah kelab bola sepak?

Di laman X (Twitter), terdapat sebuah komen mengatakan negeri-negeri di Pantai Utara & Pantai Timur Semenanjung Malaysia mempunyai sokongan terhadap kelab bola sepak yang lebih kuat berbanding pasukan berpangkalan di Lembah Klang.

"Penyokong yang kuat menonton Liga Perdana Inggeris (EPL) kebanyakan dari negeri (di bawah) Pakatan Harapan. Negeri-negeri di bawah PAS (Perikatan Nasional) lebih cenderung kepada (menonton) Liga Malaysia)," kata akaun X (Twitter) MyBahasBola.

Tapi adakah perkara ini sebenarnya tepat? Adakah sesebuah blok parti politik akan menentukan jumlah sokongan terhadap kelab bola sepak di negeri tersebut?

Menurut pensyarah sains politik Universiti Sains Malaysia, Dr Azmil Tayeb, walaupun politik dan sukan itu berkait tetapi sebenarnya hubungannya tidak begitu kuat.

"Kolerasi antara sokongan politik dan kecenderungan (terhadap) bola sepak sangat lemah," kata Azmil kepada Majoriti.

59435583_2300683423545069_161151897409945600_n

Azmil berasakan yang hubungan antara politik dan bola sepak tidaklah begitu kuat. — Facebook/Azmil Tayeb

Pada hemat Azmil, sokongan seseorang terhadap parti politik tidak akan memberikan kesan kepada kelab bola sepak dan sebaliknya.

Seseorang itu boleh fanatik dalam bola sepak tetapi tidak sukakan politik dan perkara yang sebaliknya boleh berlaku.

Selain itu, seseorang itu boleh menyokong kuat parti politik dan kelab bola sepak dalam masa yang sama walaupun salah satu entiti tersebut dipimpin oleh golongan tidak disukainya.

Bagi menjawab kepada komen di X (Twitter) itu, Azmil memberikan tiga sebab mengapa nilai fanatik dalam bola sepak tempatan di Lembah Klang tidak sekuat dekat Pantai Timur dan Utara Semenanjung Malaysia.

368970800_306603085253407_4735899767351201590_n

Penyokong Perak FC membanjiri Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah dalam perlawanan Piala Malaysia menentang skuad Sang Kenari.

1. Faktor ekonomi

Menurut Azmil, kemeriahan ekonomi di Lembah Klang membuatkan penduduk di kawasan tersebut tidak memberikan perhatian penuh kepada usaha menyokong kelab tempatan. Peluang pekerjaan yang lebih luas menjadikan warga Lembah Klang lebih memilih untuk mencari rezeki berbanding menonton perlawanan bola sepak.

Faktor kosmopolitan dan globalisasi turut menyebabkan penduduk di Lembah Klang terdedah kepada bentuk-bentuk hiburan daripada luar baik dalam sukan, muzik atau pun filem.

"Negeri seperti Selangor lebih terdedah kepada dunia luar kerana faktor ekonomi dan pendidikan. Malah, Selangor adalah negeri terkaya di Malaysia kerana banyak pelaburan asing dan syarikat luar membuka cabang di sana.

"Pendek kata, lebih kosmopolitan. Jadi warga Lembah Klang lebih terdedah kepada dunia luar bola sepak termasuklah luar negara yang dianggap lebih menarik berbanding bola sepak tempatan," kata Azmil.

367496631_333580935689757_5489206283367768973_n

Skuad Kedah menang 2-1 ke atas Penang FC dalam saingan Liga Super 2023.

2. Tiada hiburan lain

Selain itu, Azmil juga berpendapat kekurangan pilihan untuk berhibur juga menjadi faktor mengapa sokongan terhadap kelab bola sepak di Utara dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia lebih kuat berbanding di Lembah Klang.

Kekurangan variasi dalam hiburan yang ketara berbanding di Lembah Klang membuatkan mengapa orang ramai memilih untuk memenuhi gelanggang seperti Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dan Stadium Darul Aman.

Sebagai contoh, di Lembah Klang terdapat lebih banyak pusat membeli-belah, panggung wayang dan taman rekreasi untuk dikunjungi selain ke stadium.

"Negeri-negeri seperti Kedah dan Terengganu tidak ada banyak pilihan untuk rakyat mereka berhibur.

"Jadi, menonton bola sepak di stadium itu adalah salah satu daripada pilihan yang ada untuk mereka," jawab Azmil.

362257711_845695907290669_1693237808095488222_n

Salah sebuah kelab di Pantai Timur ialah Kelantan FC.

3. Sifat kenegerian tidak tebal

Satu lagi faktor yang menyebabkan sokongan terhadap bola sepak tempatan di Lembah Klang tidaklah sekuat negeri-negeri Utara dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia adalah kerana sifat kenegerian yang tidak kuat.

Menurut Azmil, kehadiran ramai perantauan dari pelbagai negeri telah membuatkan asimilasi budaya berlaku di Lembah Klang.

Oleh kerana itu, semangat kenegerian di Lembah Klang adalah rendah dan ia tidak dapat diterjemahkan kepada sokongan padu terhadap kelab bola sepak di sekitarnya.

"Ramai penduduk di Selangor (dan KL) berasal dari negeri-negeri lain. Oleh itu, semangat kenegerian mereka tidaklah sekuat dengan penduduk yang tinggal di Pantai Timur atau Utara," ujar Azmil.

Berdasarkan apa yang disebut oleh Azmil, politik dan sukan itu tidak mempunyai pertalian kuat. Akan tetapi, walaupun dua individu berbeza berlainan pendapat dalam politik, sebuah kelab bola sepak boleh menyatukan mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram