Manchester United tetap 'reject' walaupun tak bersalah, Mason Greenwood mahu jadi bapa yang baik


  • Podium
  • Selasa, 22 Ogos 2023

Kisah antara Mason Greenwood dan Manchester United kini berakhir. — Agensi

SELEPAS sekian lama terpalit dengan kes jenayah seksual yang membuatkan namanya hilang dari radar bola sepak, pemain England iaitu Mason Greenwood akhirnya dilepaskan oleh kelabnya - Manchester United.

Keputusan ini diputuskan oleh United selepas pihak kelab melakukan siasatan dalaman mengenai isu yang melanda Greenwood selepas kes pemain tersebut digugurkan oleh pihak mahkamah.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh United, proses siasatan dalaman yang dilakukan sejak Februari 2023 mendapati mereka tidak menjumpai bukti mencukupi untuk mengesahkan pemain tersebut tidak bersalah.

"Sepanjang (siasatan dalaman dijalankan), kami telah mengambil kira kehendak, hak dan perspektif mangsa yang terlibat termasuklah mengambil kira nilai-nilai dan piawaian yang diamalkan oleh kelab, dan berusaha sebanyak boleh maklumat.

"Berdasarkan bukti yang ada pada pihak kami, kami menyimpulkan segala bahan yang disiarkan secara dalam talian tidak menunjukkan gambaran sebenar yang Mason Greenwood tidak melakukan kesalahan tersebut seperti yang disabitkan terhadapnya," kata United dalam kenyataan.

Oleh itu, selepas berbincang dengan pelbagai pihak seperti mangsa dan individu yang mempunyai kaitan terus dengan kes ini, United memilih untuk tidak lagi meneruskan hubungan mereka dengan Greenwood.

United akan melepaskan Greenwood menerusi persetujuan bersama (mutual termination) dengan pemain tersebut bebas untuk bermain dengan mana-mana kelab selepas ini.

"Semua pihak yang terlibat, termasuklah Greenwood, mengakui terdapat kesukaran untuk memulakan semula kariernya di Manchester United. Oleh itu, kedua-dua pihak sepakat yang jalan terbaik untuk Greenwood melakukannya (memulakan semula karier) adalah jauh dari Old Trafford, dan kami dalam usaha untuk membantu dia dalam proses tersebut," tulis United.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Greenwood sendiri, dia mengakui perbuatannya adalah salah dan kini bersedia untuk menjadi manusia yang lebih baik.

"Saya diajar yang keganasan dan penderaan dalam sesebuah hubungan itu adalah salah, saya tidak melakukan apa-apa seperti yang saya dituduh dan pada Februari lalu saya telah dibebaskan daripada segala pertuduhan.

"Namun begitu, saya terima yang saya telah melakukan kesilapan dalam hubungan saya, dan saya bertanggungjawab terhadap situasi yang mendorong kepada siaran di media sosial (pendedahan mengenai kesnya).

"Saya sedang belajar mengenai tanggungjawab untuk menjadi contoh yang baik sebagai pemain bola sepak profesional, dan saya fokus terhadap tanggungjawab besar sebagai ayah dan pasangan yang baik," kata Greenwood.

Greenwood sebelum ini pernah dianggap sebagai prospek menjadi penyerang handalan United berkemungkinan perlu keluar daripada England untuk mencari kelab baharu bagi memulakan semula kariernya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram