[VIDEO] Kuni masih malu depan lensa kamera, tapi Bergson hadir bantu suntik semangat


  • Podium
  • Selasa, 22 Ogos 2023

Bergson dan Kunimoto ketika meraihkan jaringan gol sebaik mengerjakan Kelantan FC 10-0 dalam aksi kedua pusingan kalah mati Piala Malaysia pada Ahad. — Facebook/JDT

TONGGAK tengah baharu Johor Darul Takzim (JDT), Takahiro Kunimoto meraih pujian menggunung daripada penyokong Harimau Selatan selepas mempamerkan debut cemerlang ketika aksi kedua pusingan kalah mati Piala Malaysia pada Ahad.

Disaksikan ribuan penyokong tuan rumah di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor itu Kunimoto tidak menunggu lama apabila dia meledak dua gol dalam aksi sulungnya ketika membantu Harimau Selatan membelasah Kelantan FC 10-0.

Bukan hanya penyokong, malah pengendali Harimau Selatan, Esteban Solari turut memuji persembahan bekas pemain Jeonbuk Hyundai itu kerana pantas menyesuaikan diri dengan corak permainan skuad Harimau Selatan.

Malah, gandinganya bersama penyerang prolifik JDT, Bergson Da Silva juga mendapat pujian Solari apabila Kunimoto sering dilihat membuka ruang buat pemain import Brazil itu dengan lorongan bola yang menarik.

Keserasian antara Bergson dan bekas pemain kebangsaan Jepun Bawah 20 tahun (B-20) itu akhirnya berhasil mencipta satu bantuan gol yang dicetak penyerang berjersi nombor sembilan itu pada minit ke-21.

Keserasian dua pemain itu semakin menyerlah apabila kedua-dua mereka sempat merekod video ucapan terima kasih kepada penyokong bersama selepas kemenangan besar ke atas Kelantan itu.

Hi guys, terima kasih banyak untuk sokongan anda. Kami berjaya ke peringkat suku akhir, jom sama-sama tunjukkan sokongan lagi untuk kami,” kata Bergson dalam video tersebut.

Menerusi video berdurasi 10 saat itu juga mencuri perhatian penyokong apabila Kunimoto atau lebih mesra dengan sapaan Kuni itu seperti masih malu-malu untuk berinteraksi di depan lensa kamera.

Namun, kehadiran Bergson bersama dalam video tersebut sedikit sebanyak menghilangkan rasa kekok Kunimoto di lensa kamera dan pemain berusia 32 tahun itu dipuji kerana memberi suntikan semangat kepada tonggak baharu itu.

“Bagus Bergson ini bagi semangat untuk rakan sepasukan. True leader,” kata penyokong JDT, Mohd Azrul Aziz.

“Member masih malu-malu lagi. Tak lama habislah Kunimoto itu kena basuh dengan Bergson,” tambah seorang lagi penyokong Harimau Selatan, Żuł Shahmi. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram