[VIDEO] Tak serik tragedi Kanjuruhan, penyokong Indonesia merusuh lagi


  • Podium
  • Selasa, 22 Ogos 2023

Seorang penyokong ditangkap akibat kekecohan dalam perlawanan tersebut pada Ahad. — Agensi

PERLAWANAN antara PSIS Semarang dan Persib Bandung dalam saingan Liga 1 Indonesia 2023/2024 di Stadium Jatidiri, Kota Semarang, Jawa Tengah pada Ahad dicemari dengan rusuhan daripada penyokong.

Ketegangan yang berlaku selepas 90 minit perlawanan itu tercetus selepas pengadil perlawanan melayangkan dua kad merah untuk PSIS dan memberi dua gol Persib menerusi sepakan penalti.

Dalam pertembungan antara penyokong tuan rumah menentang Persib Bandung itu, sejumlah penyokong dari kedua-dua pasukan mula membaling botol dan melakukan kekerasan sehingga ada peminat yang dilaporkan cedera.

Rentetan kejadian itu, ramai pihak berpendapat bahawa kedua-dua penyokong itu tidak mengambil iktibar daripada tragedi Kanjuruhan Malang, Jawa Timur pada 1 Oktober 2022 yang mengorbankan 135 nyawa.

Dalam kejadian musim lepas itu, ketika perlawanan Liga Indonesia membabitkan kelab Arema FC dan Persebaya Surabaya, ratusan orang meluru ke pintu keluar yang sempit sekali gus menyebabkan ada yang dipijak dan sesak nafas sehingga meninggal dunia.

Disebabkan kejadian terkini pada Ahad itu, Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Dito Ariotedjo menyelar kekecohan yang berlaku dan mengakui kecewa dengan insiden kekecohan antara penyokong yang berulang lagi dalam Liga 1 musim ini.

Oleh itu, kementerian tersebut akan memanggil Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dalam masa terdekat untuk berbincang bagi mengelak kejadian sebegitu serupa berulang lagi.

“Kita akan jemput PSSI dan sahkan lagi, saya rasa kita perlu memberi tindakan khusus dan tegas kerana kejadian seperti ini sudah berulang kali.

“Saya ada berhubung dengan PSSI, berkemungkinan akan bertemu minggu ini. PSSI juga akan membuat susulan supaya tidak menjadi pertemuan yang panjang," katanya.

Dito itu turut menyeru semua penyokong supaya benar-benar menyokong pasukannya secara positif dan baginya perkara negatif seperti itu boleh memburukkan landskap bola sepak Indonesia.

Perkara itu pastinya akan memberi kesan dengan Indonesia kini masih dipantau oleh FIFA dan tidak lama lagi akan mengadakan Piala Dunia B-17 tidak lama lagi iaitu pada 10 November – 2 Disember 2023. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram