IBARAT sirih pulang ke gagang, itu perumpamaan yang tepat ketika Datuk Lim Teong Kim dilantik menjadi Pengarah Projek Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) kira-kira 10 tahun lepas.
Pada 22 Ogos 2013, dengan pengalaman kejurulatihan remaja selama 12 tahun bersama juara Bundesliga Jerman Bayern Munich, Teong Kim diharap akan membantu Malaysia layak ke Piala Dunia Bawah 17 Tahun FIFA pada 2019.
Selain pengalaman di bumi Eropah itu, Teong Kim juga merupakan salah seorang daripada beberapa pemain bola sepak Malaysia yang berjaya di Eropah berikutan pernah bermain untuk Hertha Berlin di Jerman dan Grazer AK di Austria.
“Wunderbar!” Begitulah jawapan Teong Kim ketika ditanya mengenai pelantikannya oleh Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Khairy Jamaluddin di Putrajaya.
“Ia cabaran buat saya untuk kembali ke tanah air, tempat di mana saya memulakan karier saya dalam bola sepak.
"Saya mahu menggunakan segala pengalaman saya, 76 cap untuk skuad kebangsaan dan 12 tahun dalam pogram pembangunan Bayern untuk dicurahkan kepada pemain dan jurulatih muda.
“Saya ingin menyampaikan pengetahuan saya kepada jurulatih dan pemain yang lebih muda," katanya ketika dilantik pada 10 tahun lepas.
Teong Kim dilantik jadi Pengarah Teknikal NFDP pada 2013. — Agensi
Ketika itu, Teong Kim juga menekankan perlunya sokongan daripada semua pihak dalam menjayakan NFDP bagi melahirkan banyak pemain bola berbakat.
“Kami mempunyai pemain muda yang bagus... tetapi bakat ini tidak tumbuh dari atas pokok. Anda perlu benar-benar bekerja dengan mereka dan, dengan kehendak Tuhan, kita harus mencapai matlamat kita suatu hari nanti.
“Saya pernah berada di sini sebelum ini dan berkata bahawa kami ketinggalan dalam aspirasi bola sepak kami... kekurangan infrastruktur. Tetapi kita perlu cuba membuat perubahan dari sekarang. Setiap orang mempunyai peranan untuk dimainkan dan minda rakyat mesti berubah,” kata Teong Kim ketika itu.
Menurut Khairy, lantikan Teong Kim adalah untuk menggantikan pemergian Kim Chon iaitu bekas Pengarah Teknikal NFDP Fasa 1 dan beliau juga merupakan abang kepada bekas pengendali Perak FC itu.
Untuk rekod, Teong Kim mula dilantik sebagai Pengarah Teknikal NFDP pada 2013 dan kemudian memegang jawatan sebagai Pengarah AMD pada 2016.
Bagaimanapun, tugasnya sebagai Pengarah Teknikal diambil alih bekas jurulatih remaja kelab gergasi Perancis, Paris Saint Germain (PSG), Saad selepas penstrukturan semula NFDP dibuat pada Disember 2018.
Lantikan baharu itu dibuat susulan kegagalan Malaysia layak ke suku akhir Kejuaraan B-16 AFC 2018, sekali gus menutup peluang beraksi pada Piala Dunia B-17 2019. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram