Pengadil bukan punca, polis tahan 7 suspek bantu kes gaduh penyokong Kedah, Penang


  • Podium
  • Rabu, 23 Ogos 2023

Tangkap layar video kejadian pergaduhan dipercayai melibatkan kedua-dua penyokong di luar pekarangan Stadium Bandaraya pada Selasa.

POLIS menahan tujuh lelaki bagi membantu siasatan insiden pergaduhan membabitkan penyokong kelab bola sepak Penang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.20 malam di sebuah stesen minyak dan disyaki berpunca daripada provokasi antara kedua-dua penyokong di luar Stadium Bandaraya, Pulau Pinang selepas menyaksikan perlawanan Liga Super.

"Selepas menerima maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut tiba di lokasi bagi mengawal keadaan. Polis merampas dua batu, dua kon jalan dan sebatang kayu dipercayai digunakan oleh kesemua suspek semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kejadian turut menyebabkan cermin pintu sebuah bas yang membawa penyokong pasukan Kedah pecah akibat ditumbuk seorang daripada suspek manakala dua daripada yang ditahan mengalami kecederaan di kepala dipercayai terkena balingan batu.

Menurut Soffian kesemua lelaki berusia 18 hingga 38 tahun dan berasal dari Pulau Pinang, Kedah serta Sarawak itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, kesemuanya yang negatif terhadap dadah direman hingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 427 kanun sama kerana melakukan khianat.

Sebelum ini, difahamkan keputusan pengadil dikatakan punca tercetusnya ketegangan kedua-dua penyokong pasukan tersebut.

Dalam perlawanan itu, pengadil bertindak membatalkan gol kedua yang diledakkan kapten tuan rumah, Rafael Vitor pada minit ke-66 gara-gara berlaku kekasaran dalam kotak penalti.

Bukan itu sahaja, pemain pertahanan Harimau Kumbang, Muhammad Adib Abdul Ra’op turut dilayangkan kad kuning yang kedua sekali gus diarah keluar padang pada minit ke-76. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram