JURULATIH Skuad B-23 Malaysia, E. Elavarasan mengatakan yang kejayaan mara ke separuh akhir Piala AFF B-23 adalah isyarat jelas betapa tingginya kemahuan untuk memburu kejuaraan.
Skuad Harimau Muda layak ke separuh akhir buat pertama kali selepas empat tahun apabila berjaya menjadi juara kumpulan B menewaskan Indonesia dan Timor Leste.
Malaysia berjaya menewaskan Indonesia 2-1 dan Timor Leste 3-1 bagi menempah slot separuh akhir dengan bertemu juara bertahan iaitu Vietnam.
Bercakap menjelang pertemuan dengan Vietnam pada Rabu, Elavarasan mengatakan dia teruja berdepan Vietnam walaupun perlawanan tersebut adalah sukar untuk dihadapinya.
Elavarasan mengatakan skuad Vietnam dibarisi oleh ramai pemain-pemain berbakat dan sukar untuk dia memberikan satu nama siapakah yang paling bahaya antara semua.
"Kalau diikutkan, Vietnam memang antara pasukan yang hebat di peringkat Asia Tenggara dan ada ramai pemain yang hebat belaka.
"Mereka lazimnya akan bermain dengan baik setiap kali kejohanan berlangsung," kata Elavarasan.
Selain itu, Elavarasan juga mengatakan kelemahan yang ada pada skuad Malaysia adalah pengalaman kerana ini adalah kali pertama Harimau Muda berjaya mara ke separuh akhir selepas empat tahun.
Berdepan dengan juara bertahan, Elavarasan semestinya tidak mahu para pemainnya hilang fokus seperti apa yang terjadi ketika perlawanan bertemu Timor Leste.
"Pada saya, kekuatan Vietnam terletak pada jurulatihnya (Hoang Anh Tuan) yang tahu apa nak buat dengan para pemainnya. Kelemahan kami adalah ini adalah pertama kami Malaysia berada di separuh akhir selepas sekian lama.
"Dalam perlawanan penentuan (bertemu Timor Leste) sebegitu, ada masanya pemain akan hilang tumpuan ketika beraksi. Akan tetapi, Timor Leste memberikan saingan yang sengit dan mereka tidak mudah patah semangat, sama seperti ketika mereka bertemu Indonesia," ujar Elavarasan lagi.
Alif Ikmalrizal meraikan jaringan ketika Malaysia menewaskan Timor Leste. — Facebook/FAM
Elavarasan berharap perlawanan bertemu Vietnam ini akan diserikan dengan permainan yang menarik dan mampu menghiburkan para penyokong sambil mengharapkan misi ke perlawanan akhir akan berjaya direalisasikan.
Vietnam merupakan juara kumpulan C selepas berjaya menewaskan Filipina dan Laos untuk mengutip enam mata penuh.
Aksi getir bertemu Vietnam ini akan diadakan pada jam 5 petang waktu Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram