KELAB Liga Super, Penang FC kini mengalami masa sukar untuk dihadapi selepas penyokong mengambil keputusan untuk menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap pengurusan.
Terkini, tersebar beberapa gambar yang menunjukkan penyokong Harimau Kumbang meletakkan kain rentang (banner) di tempat-tempat awam dengan mesej yang tidak sedap didengar.
Mesej-mesej tersebut dipercayai ditujukan kepada pihak pengurusan Penang FC menjelang pertemuan menentang seteru utara iaitu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada Selasa.
Antara mesej yang disuarakan adalah "Kami kalah setiap minggu, PFC kau tiada apa", "Penang FC b*****t" dan "F*** off management (pengurusan)".
Tetapi kenapa mesej ini disuarakan oleh penyokong Penang FC terhadap pengurusan mereka? Apa yang sebenarnya yang terjadi?
Suka atau tidak, kemarahan penyokong dilihat hadir selepas Penang FC mencatatkan prestasi yang amat membimbangkan dengan keputusan-keputusan yang diperoleh tidak begitu baik.
Dalam lima aksi terakhir Liga Super yang diharungi, Harimau Kumbang mencatatkan tiga kekalahan, satu seri dan cuma menang sekali sahaja.
Kekalahan yang dirakamkan Penang FC itu adalah ketika bertemu Selangor FC dan Sabah FC termasuklah dimalukan Perak FC di Ipoh pada 9 Ogos lalu.
Skuad kendalian Manzoor Azwira mencatatkan keputusan seri ketika bertemu Negeri Sembilan FC dan kemenangan mereka cuma hadir sewaktu berdepan satu lagi kelab bermasalah iaitu Kelantan FC pada 8 Julai.
Rekod ini pastinya tidak boleh diterima oleh penyokong Penang FC apabila mereka memboloskan 12 gol dan cuma menghasilkan tujuh jaringan sahaja dalam lima aksi terakhir liga. Ia sekaligus meletakkan Penang FC menduduki tangga kesepuluh dengan 19 mata.
Lebih memeritkan jiwa penyokong adalah Penang FC antara pasukan yang telah tersingkir awal daripada saingan Piala Malaysia musim ini apabila tumbang kepada Kuala Lumpur (KL) City FC.
Kekalahan 0-5 menerusi agregat termasuklah tumbang 0-4 di laman sendiri pada perlawanan pertama cukup untuk menambah minyak kepada api kemarahan yang cukup marak penyokong Penang FC terhadap pengurusan kelab.
Rententan kekalahan ini membuatkan penyokong Penang FC bertanya, bila nak menang?
Menurut penyokong Penang FC yang kecewa, kemenangan yang dicari masih lagi belum tiba kerana ia masih lagi ditangguhkan.
"Kita bukan kalah tapi kemenangan kita ditangguhkan," kata penyokong bernama Nazrul Harrish.
"Penang FC dah lama rancang nak kalah, kita yang lalai," komen Muhammad Azim Adha.
Walaupun ramai yang kecewa, tetapi tetap ada penyokong yang masih positif Penang FC akan kembali beroleh kemenangan dan situasi mereka tidaklah seteruk pasukan lain.
"Malam ni (Selasa) menang lawan KDA FC," tulis Mohd Syukor.
"Tak apalah, Penang FC tak senazak Kelantan FC lagi," kata Nor Saiful Zaini.
Jika Penang FC berjaya menundukkan KDA FC pada Selasa, mereka boleh memintas Negeri Sembilan FC yang kini menduduki tangga kesembilan Liga Super.
Seandainya KDA FC pula yang menang, mereka akan mengecilkan jurang dengan Selangor FC ditangga kedua kepada tiga mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram