Nafuzi syok sampai angkat 'linesman' tapi penyokong KDA FC belum cukup puas hati


  • Podium
  • Selasa, 22 Ogos 2023

Fadzrul (kanan) membuka jaringan seawal minit ketujuh untuk meletakkan skuad Sang Kenari di hadapan. — Facebook/KDA FC

PERTEMBUNGAN dua pasukan Utara tanah air, iaitu Penang FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berakhir dengan kemenangan 2-1 buat Sang Kenari.

Dalam aksi yang diadakan di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, KDA FC merupakan pasukan pertama yang memecah kebuntuan menerusi jaringan daripada Fadzrul Danel pada minit ketujuh.

Permulaan baik oleh skuad Nafuzi Zain itu bagaimana pun tidak berjaya dipertahankan oleh Sang Kenari apabila Soony Saad menyamakan kedudukan pada minit ke-32.

Separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha keras untuk mencari jaringan hinggakan perlawanan dengan aksi panas ditonjolkan sehingga pemain Penang, Adib Raop dilayangkan kad merah.

Akan tetapi, kemenangan muncul pada minit akhir buat KDA FC apabila rembatan kaki kiri sewaktu masa kecederaan oleh Moses Atede menggembirakan semua penyokong mereka.

Kegembiraan itu tidak dapat ditahan oleh Nafuzi hinggakan pengendali itu mengangkat pembantu pengadil (linesman) sewaktu meraikan jaringan Atede.

Walaupun kemenangan berjaya diraih, tetapi penyokong KDA FC masih tidak berpuas hati dengan corak permainan yang ditonjolkan oleh para pemain.

369805523_333568652357652_8425668316695946870_n

Jaringan lewat Moses Atede membolehkan skuad Sang Kenari pulang dengan tiga mata penuh. Facebook/KDA FC

Nyata penyokong KDA FC risau dengan persembahan pasukan dengan Johor Darul Takzim (JDT) bakal jadi lawan seterusnya buat mereka.

"Menang, tapi permainan agak teruk. Lepas ni dengan JDT harap ada penambahbaikan," kata penyokong bernama Saiful Cas.

"Alhamdulillah menang tapi gameplay kurang memuaskan. Sejak Lee Tuck keluar ni, gameplay mengarut (dan) KDA FC kurang kreativiti. Perlawanan seterusnya lawan JDT harap tak kena tibai, seri pun tak apa dah. Apa-apa pun lawan dulu," ulas Eman Syah.

"Tahniah, tapi banyak lagi yang kena perbaiki, lagi-lagi nak bertemu JDT lepas ni," ujar Faisol Kenari.

368463421_333625669018617_2745591201663147074_n

Ada penyokong yang turut mengatakan seksanya menonton perlawanan tadi kerana sukarnya KDA FC untuk mencari gol.

"Nak menang pun naik rimas perut. Punya susah nak jaringkan gol," kata Saiful Nizam.

"Puaslah nak letak gol pun, alhamdulillah tiga mata belakang Selangor FC!!," tulis Muhammad Aminuddin Abd Hadi.

Kemenangan minit akhir KDA FC ini berjaya meletakkan mereka tiga mata di belakang Selangor FC dalam carta Liga Super.

Sang Kenari yang mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan berada dalam landasan terbaik untuk menyamakan pungutan mata dengan Gergasi Merah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram