Radhi Mat Din antara 7 muka baharu Exco Kedah, legenda Sang Kenari sempat titip ucapan


  • Podium
  • Isnin, 21 Ogos 2023

Muhammad Radhi ketika mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin pada Isnin.

SERAMAI 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kedah mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) meliputi tujuh muka baharu termasuk legenda Kedah Darul Aman (KDA) FC, Muhammad Radhi Mat Din.

Muhammad Radhi yang juga Adun Alor Mengkudu mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Balai Menghadap Besar, Istana Anak Bukit pada Isnin.

Difahamkan bekas pemain Sang Kenari itu diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan bagi negeri Jelapang Padi tersebut.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu, Muhammad Radhi mengalahkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar dengan majoriti 10,104 undi bagi kerusi DUN Alor Mengkudu.

Susulan lantikan Muhammad Radhi itu sebagai Ecxo Kedah, Ahli Lembaga Pengarah, warga KDA FC dan termasuk jurulatih legenda Kedah, Azraai Khor Abdullah tidak ketinggalan memberi ucapan tahniah.

radhi

Tangkap layar ucapan daripada Azraai Khor.

"YB (Yang Berhormat) Radhi Mat Din...Tahniah," kata bekas pengendali Sang Kenari itu pada laman Facebook peribadinya.

"Yang Berhormat Haji Muhammad Radhi Mat Din yang cukup terkenal dengan jolokan Kapten Marvel adalah pemain legenda yang beraksi bersama pasukan Kedah sejak 1986 hingga 2000 dan antaranya selain kejuaraan yang dikecapi zaman 90-an.

"Haji Muhd Radhi merupakan pemain Kedah yang telah beraksi 7 kali perlawanan akhir Piala Malaysia. Beliau juga adalah salah seorang Ahli Lembaga Pengarah KDA FC.

"Semoga daya kepimpinan sebagai kapten pasukan Kedah suatu masa dulu, digelar Kapten Marvel, diberikan kekuatan untuk berkhidmat dengan cemerlang sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah," petik laman KDA FC.

Sementara itu, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang juga Adun Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor juga mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah pada 14 Ogos lalu memegang portfolio Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi, Kewangan, Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Pelan Pembangunan Kedah 2035 dan Kerjasama Luar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram