SELEPAS membantu Sri Pahang FC melayakkan diri ke suku akhir Piala Malaysia 2023, Kpah Sherman seperti lebih bersemangat untuk membawa pasukan itu ke tahap lebih tinggi.
Dua gol yang dijaringkan penyerang berusia 31 tahun itu membolehkan skuad Tok Gajah menundukkan Harini FT dalam aksi timbal balik di Stadium Darul Makmur, Pahang pada Ahad.
Sumbangannya itu menyaksikan kelab Pantai Timur tersebut mara dengan agregat 5-2 selepas mereka turut mencatatkan kemenangan dalam perlawanan pertama awal bulan lalu.
Jadi, pencapaian berkenaan pastinya akan mendorong pemain kebangsaan Liberia itu untuk terus menghangatkan kempen Sri Pahang FC, lebih-lebih lagi dalam saingan Piala Malaysia.
"Kami menantikan satu perlawanan yang cukup baik daripada juara ketika edisi 2021. Dalam perlawanan terakhir antara kami dengan Kuala Lumpur (KL) City FC, kami tewas dengan keputusan 1-2.
Khidmat Kpah pasti akan ditagih skuad Tok Gajah untuk baki musim 2023. — Facebook/Sri Pahang FC
"Kami mahu beraksi sebaik mungkin dan memberi tumpuan untuk melunaskan balas dendam kami terhadapnya dalam Piala Malaysia," katanya.
Musim ini, Kpah tampil sebagai penjaring terbanyak buat skuad Tok Gajah apabila menjaringkan 12 gol dalam kesemua pertandingan, termasuk 10 daripadanya hadir dalam Liga Super.
Jadi, khidmatnya pasti akan ditagih ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad untuk membantu kelab tersebut menempah tiket ke separuh akhir Piala Malaysia untuk kali pertama sejak 2019.
Tambah Kpah lagi, kepulangan dua penyerang lain, Lucas Silva dan Rafael Silva turut dinanti-nantikannya kerana ia akan membantu usaha pasukan dalam mendapatkan lebih banyak jaringan.
"Ia bukanlah satu tekanan buat saya untuk menjadi satu-satunya penyerang senior yang dimiliki kelab. Tetapi, kehadiran mereka akan memperkuatkan kami untuk baki musim," katanya.
Ketika ini, Sri Pahang FC berada di tangga kelima Liga Super selepas mengutip 37 mata daripada 19 perlawanan dengan pasukan itu berpeluang untuk menambah baik kedudukan itu dalam aksi berdepan Kelantan United. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram