Ada fans Kelantan FC rancang boikot Zamsaham, mahu selamatkan bola sepak TRW


  • Podium
  • Isnin, 21 Ogos 2023

Norizam Tukiman atau Zamsaham kini terus jadi sasaran kecaman penyokong Kelantan FC. — Facebook/TRW Kelantan FC

PELBAGAI isu yang melanda kelab Pantai Timur, Kelantan FC kini telah membuatkan penyokong pasukan tersebut semakin tidak senang dengan apa yang terjadi.

Baik cerita di luar atau dalam padang, penyokong The Red Warriors (TRW) kini sudah semakin terbuka menuding jari terhadap pemilik kelab iaitu Norizam Tukiman atau Zamsaham.

Sebelum ini, nama Kelantan FC menjadi bahan ketawa selepas tular satu iklan jawatan kosong mencari pengarah teknikal. Namun begitu, ianya dinafikan oleh Norizam dengan dia mengatakan hebahan tersebut adalah bersifat fitnah untuk menjatuhkan dirinya dan pasukan.

Selepas menafikan perkara itu, para pemain Kelantan FC tampil longlai di atas padang ketika bertemu Johor Darul Takzim (JDT) dalam pertemuan Piala Malaysia. Persembahan lemah para pemain telah membuatkan Kelantan FC kalah 0-10 kepada Harimau Selatan.

Rentetan kekalahan itu, kontroversi terus menghimpit Kelantan FC selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengeluarkan kenyataan balas terhadap apa yang dikatakan oleh Norizam pada Ahad lalu.

Dengan kontroversi seolah-olah tidak menujukkan tanda-tanda akan berhenti, penyokong Kelantan FC sudah semakin muak melihat 'drama' yang terjadi lantas mereka ingin menzahirkan rasa tidak puas hati secara terbuka.

Penyokong Kelantan FC merancang untuk mengadakan perhimpunan aman bertujuan memboikot Zamsaham pada 25 Ogos (Jumaat) di depan Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV) sebelum perlawanan Liga Super menentang Selangor FC yang akan diadakan pada sebelah malam.

Dalam hantaran dilakukan oleh Akmal Hakim di Facebook, dia mengatakan himpunan yang bakal diadakan di perkarangan SSMIV adalah bertujuan untuk memboikot kehadiran ke stadium dan tidak menyokong TRW dalam aksi-aksi yang dilalui mereka.

"Bukan pergi stadium tengok bola. (Tapi) angkat kain putih selamatkan bola sepak bola sepak Kelantan," tulis Akmal.

Namun begitu, seruan yang dilakukan oleh Akmal tidak mendapat 'restu' daripada majoriti penyokong Kelatan FC yang berasakan tindakan tersebut adalah sia-sia dan tidak akan mengubah apa yang terjadi kepada TRW.

Pada hemat mereka, kelab itu adalah hak milik mutlak Norizam dan dia boleh lakukan apa sahaja yang disukai terhadap Kelantan FC.

"Ikut dialah, kelab dia," kata seorang penyokong yang menggunakan nama Shaiful Afzan.

"Kenapa nak suruh dia keluar? Kamu bayar (beli kelab) dia keluarlah. Ingat ni politik ke nak suruh letak jawatan macam tu je?," persoal penyokong bernama Baim Rasyid.

Selain itu, ada juga penyokong yang menyoal kembali Akmal tindakan lanjut selepas melakukan boikot?

"Apa perancangan selepas anda memboikot? Adakah jutawan sanggup beli kelab kesayangan anda yang sedang dilanda masalah ini? Adakah anda berfikir sebelum berbuat demikian? Tidak bukan? Jadi apa yang anda cuba buktikan ini?," soal penyokong bernama Ahmad Pau.

"Selepas lancarkan 'ZamOut', nak buat apa pula? Beritahu sikit perancangan. Sikit saja, dia beli TRW ini dengan duit bukannya KAFA (Persatuan Bola Sepak Kelantan) bagi percuma macam tu je. Ke ada siapa-siapa nak beli TRW?," tanya Akim Musthakim.

Dalam ramai yang menentang rancang melakukan boikot, ada juga menyokong cadangan Akmal itu untuk meneruskan tindakan tersebut.

"Boikot pergi stadium. Ajar sikit owner macam tu. Yang dia tahu cuma salahkan orang lain," kata Shamsul Anuar.

"Semoga dipermudahkan," tulis Isa Zain ringkas.

Kelantan FC berdepan Selangor FC pada Jumaat ini dalam misi untuk membaiki kedudukan mereka dalam Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram