Selangor perlu berani ikut langkah JDT, 3 bek kental baka Asean boleh jadi buruan Gergasi Merah musim depan


  • Podium
  • Selasa, 22 Ogos 2023

Penyokong Selangor mahu pihak pengurusan ikut jejak langkah JDT membawa bek import Asean yang berkualiti seperti Jordi Amat.

KEKALAHAN kali kedua berturut-turut Selangor FC kepada PDRM FC ternyata membuatkan penyokong Selangor tidak gemar melihat keputusan sebegitu apatah lagi dua jaringan The Cops itu kesilapan benteng pertahanan Gergasi Merah.

Selangor yang tidak menurunkan Safuwan Baharuddin dilihat rapuh di benteng pertahanan apabila PDRM mudah menembusi Yazan Al-Arab, Harith Haikal dan Shahrul Nazeem.

Namun apa yang lebih membimbangkan penyokong Selangor ialah prestasi Yazan yang dilihat semakin menurun dan lambat bertindak apabila berdepan dengan pemain lawan yang lebih laju.

Yazan Al-Arab

Yazan diasak dua pemain PDRM FC. Facebook/Selangor FC

Pemain kelahiran Jordan yang dikekalkan Selangor untuk menghadapi saingan liga musim ini dilihat agak bergelut dengan prestasi semasanya.

Di media sosial, penyokong Selangor mula menyarankan agar pihak pengurusan mencari pertahanan yang lebih baik khususnya daripada negara-negara Asean seperti yang dilakukan Johor Darul Takzim (JDT) apabila menandatangani kapten nasional Indonesia, Jordi Amat.

Majoriti senaraikan tiga pertahanan kental kacukan negara Asean yang boleh disambar Gergasi Merah musim depan:

Sandy Walsh

Sandy beraksi di posisi pertahanan kanan tetapi boleh beraksi sebagai bek tengah. Agensi

1. Sandy Walsh (Indonesia)

Di Liga Malaysia pastinya ramai mengenali Jordi sebagai pemain warisan Sepanyol-Indonesia yang sudah mula turun beraksi bersama skuad nasional Sang Garuda.

Tetapi bukan sahaja Jordi yang mendapat kerakyataan oleh kerajaan Indonesia, seorang pemain berdarah Belanda-Indonesia, Sandy Walsh turut mengikuti jejak langkah kapten JDT itu.

Sandy beraksi di posisi pertahanan kanan tetapi boleh beraksi sebagai bek tengah.

Pemain berusia 28 tahun itu beraksi di Liga Belgium dengan menyertai beberapa pasukan seperti KRC Genk, Zulte Waregem dan kini KV Mechelen.

Sandy juga berpengalaman di pentas antarabangsa dengan mewakili skuad kebangsaan Belanda dalam pelbagai peringkat umur kecuali senior.

Irfan Fandi

Irfan dinobatkan sebagai kesebelasan terbaik import Asean dalam Liga Thailand. Instagram/Irfan Fandi

2. Irfan Fandi (Singapura)

Penyokong Liga Malaysia pastinya mengenali anak sulung legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad iaitu Irfan Fandi yang sudah menempa nama di Liga Thailand bersama BG Pathum United.

Walaupun baru berusia 26 tahun, Irfan sudah melakukan 47 kaps bersama skuad senior Singapura sekali gus menjadi watak utama pasukan kebangsaan negara republik itu.

Bersama BG Pathum United pula selaku bek tengah Irfan sudah menjaringkan sembilan gol dan lima assist dalam 107 penampilannya dalam Liga Thailand.

Dengan ketinggian fizikal 1.86 meter ia menjadikan satu kelebihan buat Irfan untuk terpilih sebagai pemain utama di benteng pertahanan Selangor.

Irfan juga sudah mengenali corak permainan pemain tempatan apabila dia sering bertemu dengan skuad Harimau Malaya ketika usia mudanya.

Pemain kelahiran Singapura-Afrika Selatan ini juga dinobatkan sebagai kesebelasan terbaik import Asean bersama Dion Cools dalam Liga Thailand.

Tristan Do

Tristan menjaringkan 16 gol serta 35 assist dalam 219 penampilan sebagai pertahanan kanan. Instagram/Tristan Do

3. Tristan Do (Thailand)

Umum mengetahui prestasi Quentin Cheng selaku pertahanan kanan sering menjadi pertikaian penyokong Selangor apabila menghadapi prestasi yang tidak menentu musim ini.

Dengan kemunculan pemain muda seperti Shahrul Nazeem dan Harith Haikal mungkin pihak pengurusan boleh memberi peluang mereka berdua bergandingan bersama atau pun beraksi dengan Safuwan Baharuddin di posisi pertahanan tengah.

Ia sekali gus membolehkan barisan kejurulatihan mengugurkan Yazan dan mencari alternatif untuk mencari pemain import di pertahanan kanan.

Pemain kebangsaan Thailand, Tristan Do antara calon sesuai untuk memperkuatkan posisi pertahanan Selangor musim depan.

Sepanjang kariernya sebagai pertahanan kanan, Tristan sudah menjaringkan 16 gol serta 35 assist dalam 219 penampilan.

Pemain berusia 30 tahun itu juga mampu beraksi di posisi sayap kanan sekali gus memberikan kelebihan buat Selangor jika mahu menukar taktikal.

Pemain kacukan Perancis-Thailand itu juga mempunyai pengalaman beraksi bersama beberapa pasukan di Liga Perancis seperti Racing Strasbourg, FC Lorient, SAS Epinal dan GFC Ajaccio sebelum berhijrah ke Thailand. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram