JOHOR Darul Takzim (JDT) merakam kemenangan terindah selepas membelasah Kelantan FC 10-0 untuk menang dengan agregat 15-1 pada aksi pusingan kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor pada Sabtu.
Bukan itu sahaja, aksi perlawanan skuad Harimau Selatan itu turut mencipta rekod baharu iaitu kemenangan terbesar kelab musim ini, kemenangan terbesar Liga Malaysia dan jaringan gol ke-100 terpantas dalam sejarah kelab sejak 2013.
Namun di sebalik lakaran sejarah tersebut, ada dalam segelintir penyokong yang berpendapat ia bukanlah satu rekod yang patut dibanggakan skuad kendalian Esteban Solari berkenaan.
Apatah lagi, kemenangan itu dicipta selepas skuad Harimau Selatan itu berdepan dengan pasukan belasahan dalam Liga Malaysia (M).
Jika melihat pada carta Liga Super, skuad The Red Warrior (TRW) itu menduduki tangga ke-13 Liga Super dan hanya mampu mengumpul lapan mata penuh sepanjang 20 aksi permainan.
Tambahan pula, umum mengetahui pasukan milik Norizam Tukiman sememangnya mempunyai masalah dalaman sehingga menjejaskan prestasi pemain pasukan tersebut.
Skuad TRW hanya mampu menduduki tangga ke-13 Liga Super dan hanya mampu mengumpul lapan mata penuh sepanjang 20 aksi permainan. — Facebook/TRW
Malah, isu berkenaan terus menjadi topik perbincangan dengan penyokong bola sepak tempatan, Nurazhar Mohd Zin yang menyatakan pendiriannya berkenaan kemenangan kelab yang berpangkalan di Selatan tanah air itu tidak perlu dibangga-banggakan.
"Menang 10-0 ini tak ada apa nak dibanggakan sangat dengan line-up (barisan pemain) yang seperti ini dengan lawan (Kelantan FC) dan bermain di tempat sendiri," katanya.
Malah, Nurazhar turut mempersoalkan pihak pengurusan dan kejurulatihan JDT yang seakan-akan tidak memberikan peluang kepada pemain tempatan yang kurang minit permainan untuk diturunkan pada aksi bertemu skuad TRW itu.
Antara nama tonggak tempatan yang kurang mendapat tempat dalam skuad kendalian Solari musim ini ialah Safawai Rasid; pemain tengah, Syamer Kutty Abba; dan Akhyar Rasid.
"Kelebihan sudah ada pada perlawanan pertama, kenapa tak bagi perlawanan ini untuk memberi peluang kepada pemain tempatan yang lain?
"Berilah peluang Syafiq Ahmad memimpin barisan hadapan. Bagi Bergson memang senangla hatrik.
Penyokong berasakan Akhyar Rasid sepatutnya diberi peluang untuk bermain pada aksi pusingan kedua Piala Malaysia di di SSI, Johor pada Sabtu lalu. — Facebook/JDT
"Goalkeeper (Penjaga gawang) kedua dan ketiga pun boleh jadi. Pep Guardiola pun selalu bagi peluang dekat keeper sub Manchester City main untuk League Cup, FA Cup.
"Berapa kali Akhyar Rasid nak masuk sebagai sub (pemain gantian)? Walhal untuk Malaysia dia dah terbukti main first eleven (kesebelasan utama). Dia bukan selamanya 18 tahun. Masa inilah nak rehatkan anak emas, Arif Aiman dan letak Safawi Rasid di posisi yang sama.
"Nak jaga kaki player (pemain), time luar kalendar FIFA boleh pula takut nak release player ini. Syameer Kutty Abba mana? Antara regular di Harimau Malaya tapi JDT, minit permainan takda sangat. Jadi macam Nazmi Faiz takutnya," tulisnya lagi.
Jelasnya, dengan perlawanan yang boleh dianggap mudah menentang skuad Pantai Timur itu sebaliknya staf kejurulatihan tidak usah menggunakan skil import baharu iaitu Takahiro Kunimoto pada aksi Pusingan 16 Piala Malaysia tersebut.
Pada aksi tersebut, import dari Jepun itu membuat debut cemerlang dengan menyumbang dua gol untuk Harimau Selatan.
"Nak test import baru pun bukan sini gamenya. Liga Super ada lagi nafsu dari team yang belum masuk padang pun dah kalah mentalitinya," tambahnya.
Selepas ini, juara Piala FA musim 2023 itu akan bertemu Negeri Sembilan FC (NSFC) bagi pusingan suku akhir Piala Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram