
PENGENDALI skuad B-23 Malaysia, E. Elavarasan tidak sesekali memandang rendah keupayaan yang dimiliki oleh Timor Leste.
Bakal turun berdepan mereka pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala AFF B-23 pada Selasa ini, Elavarasan memberi gambaran skuadnya perlu lebih berhati-hati dalam berdepan dengan Timor Leste yang dianggap bukanlah lawan mudah.
Pada hemat Elavarasan, dia menanggap kualiti Timor Leste yang pernah sampai ke peringkat separuh akhir kejohanan sama pada 2022 menjadi bukti adalah Malaysia tidak boleh leka dalam mengesahkan tempat sebagai juara kumpulan B.
Elavarasan juga merujuk kepada kesukaran Indonesia ketika berdepan Timor Leste dengan skuad Garuda itu cuma berjaya mendapatkan kemenangan tipis sahaja berdepan mereka.
Indonesia kini sudah melengkapkan kesemua perlawanan peringkat kumpulan mereka cuma mampu menang 1-0 sahaja bertemu Timor Leste. Gol kemenangan mereka dalam pertemuan itu dihasilkan oleh Ramadhan Sananta.
"Kalau kita lihat prestasi Timor Leste pada tahun mereka, mereka adalah semi-finalists, jadi kita tak boleh anggap mereka adalah pasukan yang biasa-biasa.
"Dengan keputusan 1-0 yang Indonesia (mampu) menang, jadi kita perlu berhati-hati apabila menentang mereka. Persiapan mestilah rapi dan kita mesti sasarkan untuk layak ke separuh akhir. Itu paling penting," kata Elavarasan.
Elavarasan juga turut berpuas hati apabila melihat keserasian para pemain semakin meningkat hasil daripada persiapan rapi menjelang perlawanan bertemu Timor Leste.
Dia berasakan jalan sudah terbentang luas untuk Malaysia mengesahkan tempat ke separuh akhir sekaligus cuba mara ke perlawanan akhir.
"Selepas dua, tiga hari latihan, keserasian akan meningkat, pemahaman pemain berkaitan prestasi juga akan meningkat dan itulah yang kita mahukan dalam pasukan.
"Lagi satu, ini adalah peluang yang baik kami untuk ke separuh akhir. Pada saya, para pemain juga ada objektif dan matlamat untuk mendapatkan slot ke separuh akhir," tambah Elavarasan lagi.
Skuad negara akan turun menentang Timor Leste pada Selasa (9 malam) dengan keputusan seri sudah cukup untuk mengesahkan status sebagai juara kumpulan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram