DALAM bola sepak, macam-macam insiden boleh berlaku baik yang menggerunkan mata yang memandang atau mencuit hati kita semua.
Tetapi, ada masa akan terjadi insiden yang berlaku kelihatan aneh dan tak terjangka dek akal kita semua yang menonton perlawanan tersebut.
Inilah yang terjadi di England apabila satu insiden pelik berlaku melibatkan pegawai perlawanan dalam aksi English League 1 pada Sabtu lalu.
Dalam aksi melibatkan Portsmouth dan Cheltenham, dua orang pegawai perlawanan telah mengalami kecederaan semasa menjalankan tugas mereka dalam aksi yang diadakan di Fratton Park.
Pada mulanya, pengadil keempat iaitu Stephen Brown menggantikan pembantu pengadil yang tidak dapat meneruskan tugasnya kerana cedera sehingga tamat separuh masa pertama. Namun, malangnya apabila Brown pula mula mengalami kecederaan di separuh masa kedua.
Hal itu memaksa pengadil perlawanan, Ben Toner, untuk menangguhkan seketika perlawanan dengan penyokong mula risau akan ada potensi aksi terpaksa ditangguhkan seperti dalam video yang tular di Twitter.
Pengumuman menggunakan pembesar suara dilakukan bagi mencari pengadil bidan terjun dalam kalangan penyokong yang hadir. Mujur dalam ribuan yang hadir, terselit seorang yang boleh menjalankan tugas itu.
Maka muncullah Julian Browning, seorang pengadil 'kampung' yang merupakan penyokong tegar Portsmouth hadir menyelamatkan perlawanan daripada terpaksa ditangguhkan.
Detik yang tidak dijangka itu disambut baik oleh Browning dengan dia dapat menjalankan tugas selama baki 35 minit permainan termasuklah 21 masa kecederaan yang diberikan kerana insiden yang terjadi.
Walaupun ianya satu detik yang menarik buat Browning namun dia sebenarnya teragak-agak untuk muncul memberikan bantuan kepada pegawai perlawanan.
"Pada mulanya saya berasa tidak pasti. Mereka buat pengumuman kali kedua dan saya fikir, 'apa salahnya?'. Saya pun dah lama tidak jejakkan kaki di Fratton Park, kali terakhir saya lakukannya ketika bermain dalam perlawanan akhir bola sepak antara sekolah pada tahun 1978 sewaktu berumur 11 tahun.
"Saya adalah penyokong tegar Portsmouth. Adrenalin [sewaktu bertugas] sangat tinggi. Saya risau juga jika saya ada terbuat keputusan yang meragukan, dan saya turut risau kalau Portsmouth menjaringkan gol, macam mana saya nak bagi reaksi?,"kata Browning selepas tamat perlawanan.
Mujur buat Browning, tiada sebarang jaringan yang dihasilkan oleh pasukan kegemarannya dan pihak lawan dengan aksi tersebut berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Apa yang menarik perhatian, Browning menjalankan tugasnya dengan menggunakan kasut but berwarna emas dan itu jelas sekali mencuri perhatian ramai.
"Saya terima jersi daripada pembantu pengadil kedua, stokin dan seluar yang pegawai perlawanan ada salinan tambahan dan but berwarna emas yang ada di bilik persalinan.
"Kalau nak curi perhatian orang ramai, eloklah kalau kita pakai but berwarna emas, kan?," ujar Browning lagi.
Keputusan seri tanpa jaringan yang diraih kedua-dua pasukan membuatkan Portsmouth kini menduduki tangga keenam English League 1 dengan mengumpul lapan mata daripada enam perlawanan sementara Cheltenham berada di zon penyingkiran. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram