KANCAH bola sepak tanah air dirancakkan lagi dengan kehadiran pemain-pemain berkualiti bukan sahaja lahir daripada pasukan gergasi malah dari skuad 'underdog' turut tidak mahu ketinggalan.
Seperti yang diketahui, setiap pasukan Liga Malaysia (Liga-M) memiliki barisan pemain yang cukup berkualiti untuk menggalas tanggungjawab membantu kelab masing-masing.
Bagaimanapun, di setiap kejayaan yang diraih perlu disertakan dengan pengorbanan iaitu setiap pasukan akan melepaskan pemain yang menunjukkan prestasi kurang cemerlang untuk digantikan dengan yang lebih baik.
Perak FC, Selangor FC dan Terengganu FC antara pasukan yang dilihat garang memulakan kempen aksi Piala Malaysia berikutan kemenangan mudah berjaya diraih.
Dengan memiliki barisan pemain yang berkualiti pastinya ketiga-tiga pasukan itu masih mahu mendapatkan pemain baharu untuk membantu pasukan tersebut dalam menghadapi saingan musim depan.
Oleh itu, berikut Majoriti menyenaraikan tiga pemain underated yang sesuai dibawa masuk oleh ketiga-tiga pasukan tersebut pada musim depan.
Uche Agba catat empat gol bersama PDRM FC. — Instagram/uche.agba
1. Uche Agba
Pemain kelahiran Nigeria, Uche Agba antara calon yang sesuai diburu oleh skuad Seladang, Gergasi Merah dan Sang Penyu.
Ini kerana, penyerang berusia 37 tahun itu pernah menjaringkan lima gol selepas lapan perlawanan untuk membantu pasukan Sarawak United layak ke suku akhir dalam aksi Piala Malaysia musim lalu.
Selain itu, Agba juga merekodkan prestasi cemerlang apabila memainkan peranan penting untuk membantu kelab Borneo itu dalam saingan Liga Super musim lalu dengan meledak 14 gol sekali gus mencapai kedudukan kedua Liga Premier.
Untuk rekod musim ini, Agba yang beraksi bersama PDRM FC membantu pasukan itu meledak empat gol dan tiga assist dalam saingan Liga Super 2023.
Melihat kepada kemampuan Uche Agba, Perak FC dilihat sebagai destinasi terbaik berbanding ketiga-tiga pasukan itu memandangkan Selangor FC dan Terengganu FC memiliki pemain lebih berkualiti di posisi tersebut.
Abu Kamara mencetak sembilan jaringan bersama Kuching City musim ini. — Instagram/aburazardkamara
2. Abu Kamara
Penyerang Kuching City FC, Abu Kamara dilihat sesuai menjadi kesebelasan utama pasukan skuad Seladang, The Red Giants dan Sang Penyu.
Hal ini kerana, penyerang kelahiran Liberia itu sudah meledak sembilan jaringan dan satu assist ketika membantu Kuching City dalam saingan Liga Super.
Bukan itu sahaja, keyakinan, kesungguhan dan ketajamannya dalam memperdayakan pihak lawan antara kelebihan yang dimiliki olehnya untuk membantu pasukan The Cats.
Untuk rekod, penyerang berusia 26 tahun itu pernah meraih anugerah Kasut Emas Liga Perdana 2022 bersama skuad The Cats.
Sekiranya dibandingkan pasukan-pasukan itu, Abu Kamara lebih sesuai untuk menyertai Selangor FC untuk melengkapkan trio serangan yang kini dibarisi Faisal Halim, Ayron del Valle.
Kebolehannya untuk menyudahkan peluang akan menjadikannya calon terbaik untuk menggantikan Richmond Boakye yang masih belum menyesuaikan diri bersama skuad Gergasi Merah.
James Okwuosa antara tonggak pertahanan penting PDRM FC. — Twitter/Okwuosa
3. James Okwuosa
Pertahanan berusia 32 tahun dari Nigeria, James Okwuosa merupakan tonggak penting untuk pasukan PDRM FC ketika ini.
Kehadirannya jelas menstabilkan pasukan selepas berjaya mengawal kemas benteng pertahanan PDRM yang diihat sukar dibolosi pada pusingan kedua Liga Super.
Okwuosa antara pertahanan yang sering menjadi sebutan penyokong apabila berjaya menjaga kemas gawang sendiri selain mematahkan serangan demi serangan pihak lawan.
Oleh itu, tidak hairanlah jika ketiga-tiga pasukan berkenaan mahu mendapatkan khidmat pertahanan berusia 32 tahun ini.
Melihat kepada situasi benteng pertahanan Sang Penyu yang mudah dibolosi oleh pihak lawan, pastinya kehadiran Okwuosa dalam pasukan itu dijangka mampu mengawal ketat kubu pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram