[VIDEO] Pantas tenangkan Kalamullah bukti peranan Ifwat penting buat skuad Sang Kenari


  • Podium
  • Ahad, 20 Ogos 2023

Ifwat memikul tanggungjawab sebagai salah seorang pemain senior dalam skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC

MESKIPUN meraih kemenangan 2-1 ke atas Perak FC di laman sendiri dalam aksi timbal balik Piala Malaysia, ia masih belum mencukupi buat Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk mara ke peringkat seterusnya.

Agregat 4-3 yang berpihak kepada pihak lawan menyebabkan mereka ditunjukkan jalan keluar lebih awal daripada kejohanan itu untuk edisi kali ini.

Mereka yang mendahului dengan dua gol menerusi jaringan Manuel Hidalgo dan Akmal Zahir seakan-akan sudah cukup berpuas hati memasuki penghujung permainan.

Tetapi, pada minit ke-85, kekecewaan melanda penyokong Hijau Kuning yang membanjiri Stadium Darul Aman, Kedah apabila penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi melakukan kesilapan terbesar dalam kariernya.

Dia yang ketika itu tidak diberikan sebarang tekanan daripada pemain skuad The Bos Gaurus (TBG) gagal untuk menampan bola daripada tendangan percuma dengan kemas.

Kesilapan berkenaan membolehkan penyerang import Perak FC, Seo Seon-ung menanduk bola ke dalam gawang dengan tenang, sekali gus memastikan kelebihan dikembalikan kepada mereka.

Situasi itu sememangnya memberi satu tamparan buat Kalamullah yang memahami bahawa kegagalannya untuk mengawal keadaan dengan lebih baik merugikan pasukan.

Jadi, tidak hairanlah apabila pemain berusia 28 tahun itu kelihatan cukup kecewa apabila dia didapati berdukacita sambil kekal di atas padang selepas wisel penamat ditiupkan.

Bagaimanapun, dalam usaha menenangkan emosi Kalamullah, seorang lagi penjaga gol KDA FC, Ifwat Akmal Chek Kassim tampil menenangkannya.

Perkara itu sempat dirakam penyokong yang hadir di stadium ketika perlawanan itu sebelum memuat naik klip pendek itu ke akaun TikTok @ninietaj95.

Ifwat yang hanya diletakkan di bangku simpanan untuk aksi timbal balik tersebut dilihat bergegas untuk memasuki padang dalam usahanya mengembalikan semangat rakan sepasukannya terbabit.

Musim ini, kehadiran Kalamullah menyaksikan Ifwat lebih kerap diberikan peranan sebagai penjaga gol simpanan meskipun khidmatnya bersama skuad Sang Kenari sudah melebihi tujuh musim.

Berdasarkan statistik, anak jati Alor Setar, Kedah itu hanya diturunkan sebanyak tiga kali dalam saingan Liga Super dengan hanya dua gol dilepaskan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram