PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) membidas kenyataan dibuat pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman yang sebelum ini menyalahkan badan induk bola sepak negara itu mengenai situasi semasa kelab berkenaan.
Tuduhan tersebut sebelum ini dibuat Norizam menerusi satu hantaran di Facebook peribadinya yang mempersoalkan sistem pengurusan kelab yang menyekat pendaftaran pemain baharu.
Dalam satu kenyataan yang dibuat pada Ahad, FAM menegaskan pihaknya tidak mengalami sebarang masalah teknikal sistem (TMS) seperti mana dikatakan usahawan berkenaan.
"FAM dengan ini menyatakan bahawa kenyataan yang dibuat oleh pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham adalah tidak benar.
"Ini kerana, berdasarkan fakta, pihaknya sendiri yang sudah melewati tempoh masa pendaftaran yang ditetapkan, malah FAM mencuba sehabis baik untuk membantu, terutama dalam proses permohonan dan rayuan kepada FIFA," tulisnya.
FAM dalam satu kenyataan membidas kritikan dibuat Norizam Tukiman. — Facebook/FAM
Siaran media tersebut turut disertakan satu kronologi yang menceritakan situasi Kelantan FC ketika jendela perpindahan kedua Liga Malaysia.
Menurutnya, FAM pada awalnya sudah menarik sekatan dikenakan terhadap kelab itu pada awal Julai lalu, namun mereka masih tidak dapat perlepasan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
"Sehingga 1 Ogos, Kelantan FC masih lagi memaklumkan bahawa akaun TMS Kelantan FC yang dipegang oleh bekas pegawai mereka masih tidak dapat diakses kerana mengalami masalah log masuk.
"Kelantan FC hanya memohon kepada FIFA melalui e-mel untuk penukaran dan pelantikan akaun TMS yang baharu pada jam 11.15 malam iaitu 45 minit sebelum tempoh perpindahan ditutup," jelasnya lagi.
Tambahan pula, FAM turut menegaskan bahawa pihaknya turut membantu pasukan berkenaan untuk mendaftarkan pemain baharu, Allee Putra Azril dari akademi kelab Sepanyol, Malaga FC dengan menyelesaikan isu dengan Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF).
Pada Ahad, Zamsaham meluahkan rasa kecewanya terhadap persatuan tersebut selepas kekalahan memalukan Kelantan FC kepada Johor Darul Takzim (JDT) dalam Piala Malaysia.
Katanya, situasi berkenaan berpunca daripada kelewatan FAM untuk mengendalikan masalah teknikal sistem TMS yang menghalang mereka daripada membawa masuk pemain baharu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram