
KEMENANGAN yang diraih oleh skuad B-23 Malaysia pada aksi pembukaan Piala AFF B-23 di Thailand nyata menjadi tonik terbaik sebelum turun menentang Timor Leste.
Selepas berjaya meraih kemenangan sensasi terhadap seteru utama, Indonesia, ketika perlawanan pembukaan, skuad kendalian E. Elavarasan kini bersemangat untuk menewaskan Timor Leste pada Selasa malam bagi memastikan gelaran juara kumpulan B menjadi nyata.
Bercakap menjelang aksi penting itu, ketua pasukan skuad B-23 negara, Aiman Afif Afizul, mengatakan kemenangan menentang Indonesia merupakan titik tolak kepada semangat membara dalam kalangan pemain yang bakal dijadikan sandaran sepanjang kejohanan berlangsung.
"Bagi saya, perlawanan menentang Indonesia itu adalah titik semangat buat kami, langkah kanan di dalam group ini untuk teruskan momentum kemenangan untuk lawan Timor Leste nanti," kata Aiman Afif.
Pada pandangan Aiman Afif, dia berasakan keserasaian antara para pemain semakin baik walaupun ianya hanya boleh diraih pada masa yang singkat.
Situasi ini nyata bermanfaat untuk skuad negara dan ianya dapat membantu Malaysia bergerak lebih jauh dalam kejohanan ini.
"Keserasian itu semakin meningkat dari hari ke hari. Kami pun hanya bersama dalam masa yang singkat. Kami tidak boleh pandang rendah Timor Leste jadi kami akan berikan yang terbaik untuk mengutip tiga mata," ujar Aiman lagi.
Apa yang dikatakan oleh Aiman itu turut disokong oleh seorang lagi ketua pasukan skuad B-23 negara iaitu Syahir Bashah. Menurut pemain Selangor FC ini, bantuan daripada jurulatih amat diperlukan bagi memastikan kemenangan berjaya diraih.
"Dari hari ke hari, kami ada dapat maklumat baharu daripada jurulatih dan kami rasa kami lebih bersedia untuk perlawanan akan datang.
"Kami tidak mengambil mudah terhadap Timor Leste. Kami tahu yang mereka juga bermain dengan baik dan kami akan beraksi dengan lebih baik untuk perlawanan akan datang," ulas Syahir.
Pada aksi pembukaan, Malaysia bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Indonesia menerusi dua jaringan Fergus Tierney yang dimasukkan ketika separuh masa kedua.
Skuad negara akan turun menentang Timor Leste pada pukul 9 malam waktu Malaysia untuk membolehkan sasaran mencapai perlawanan akhir menjadi kenyataan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram