TULAR satu video memaparkan pergaduhan dalam kalangan pemain dua pasukan bola sepak liga amatur yang didakwa berlaku di Kopa Arena, Pulau Pinang baru-baru ini.
Melalui satu video yang dimuat naik di akaun TikTok Syahminsam memaparkan sekumpulan lelaki yang melibatkan kedua-dua kelab amatur itu bergaduh dan bertumbuk sesama sendiri selepas tamat perlawanan persahabatan bola sepak pada Ahad.
Menerusi video berdurasi lebih daripada seminit itu juga, turut kedengaran pemain daripada kedua-dua pasukan berkenaan menjerit ke arah satu sama lain dan mengeluarkan kata-kata kesat.
Pada masa sama, beberapa individu turut dilihat cuba untuk meleraikan pergaduhan tersebut dan turut kedengaran suara si perakam meluahkan rasa kesal melihat kejadian berkenaan.
"Gila bukan main liga pun, baru friendly game (perlawanan persahabatan) sudah macam beruk," katanya.
Difahamkan, pergaduhan itu tercetus akibat salah faham berlaku antara kedua-dua pasukan tersebut selepas tamat perlawanan yang menyaksikan pemain bertindak di luar kawalan ketika kejadian.
Rakaman tular itu menerima lebih 194,000 jumlah tontonan setakat ini.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata mengecam tindakan kedua-dua pasukan yang dikatakan tidak matang dan profesional.
"Baru main liga amatur sudah bergaduh nak bertumbuk. Bila sukan negara nak maju, memalukan. Kalau budak sekolah aku boleh terima, ini semua sudah besar panjang," kata Ikhwan_Jan.
Sementara itu, seorang pengguna maya, Jazz meninggalkan komen sinis selepas melihat video tersebut.
"Meremang bulu roma aku,aku ingat pusingan akhir Liga Perdana Inggeris (EPL) di Eropah tadi," tulisnya.
Komen Jazz itu turut dipersetujui @_pidottt.
"Beriya gaduh macam main EPL, padahal friendly sahaja," tulisnya.
Setakat berita ini ditulis, punca sebenar pergaduhan masih belum diketahui setakat ini dan belum ada sebarang kenyataan polis dilaporkan berhubung kejadian itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram