Bergson kongsi rahsia JDT terus berada dalam kelas tersendiri


  • Podium
  • Isnin, 21 Ogos 2023

Sebahagian aksi pemain JDT meraikan kegembiraan selepas raih kemenangan terbesar musim ini. — Facebook/MFL

PENYERANG berbisa pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Bergson da Silva tidak menyangka akan merekodkan kemenangan terbesar musim ini selepas mengalahkan Kelantan FC 10-0 dalam aksi timbal balik Piala Malaysia pada Sabtu.

Ayam tambatan JDT itu menjadi bualan hangat penyokong selepas meledak hatrik bagi memastikan JDT mara ke suku akhir Piala Malaysia yang penuh bergaya dengan keputusan agregat 15-1.

Pemain kelahiran Brazil itu turut menzahirkan perasaan gembira apabila pemain skuad Harimau Selatan menggunakan peluang dengan sebaik mungkin ketika diberi peluang untuk beraksi.

"Saya terkejut dan berpuas hati dengan pasukan JDT, mereka berjaya terjemahkan karakter sebenar JDT menerusi corak permainan yang ditampilkan dalam perlawanan tersebut dan kini JDT berjaya ke suku akhir.

"Setiap pemain di JDT juga sentiasa memberikan yang terbaik seandainya diturunkan dan ia terbukti ketika aksi menentang Kelantan," katanya.

WhatsApp Image 2023-08-21 at 18.00.36

Bergson meraikan kemenangan bersama penyerang muda JDT,Arif Aiman Hanapi. — Facebook/MFL

Bergson turut mendedahkan bahawa iaitu setiap kemenangan yang diraih dalam Liga Malaysia (Liga-M) pastinya disertai dengan pengorbanan yang perlu dihadapi oleh barisan pemain Harimau Selatan.

"Saya mengakui bahawa semua pihak di JDT bekerja keras demi memastikan Harimau Selatan terus berada pada kelas tersendiri dan kekal sebagai pasukan gergasi bola sepak Malaysia.

"Ini adalah JDT, kami mempunyai ramai pemain yang berkualiti, kami sangat bekerja keras sama ada di padang mahupun dalam sesi latihan dan kami mesti tunjukkan kepada lawan bahawa JDT mempunyai kelas yang tersendiri," jelasnya.

Di samping itu, pencabar kasut emas musim ini percaya Harimau Selatan berada di landasan yang betul untuk mengekalkan gelaran pemenang Piala Malaysia musim ini selain membuktikan pada pihak lawan kemampuan JDT sebenar.

"Kami mesti terjemahkan segala usaha dan kerja keras ketika kami dalam sesi latihan apabila berada di atas padang.

"Saya harap untuk perlawanan seterusnya, pasukan JDT akan teruskan momentum untuk menunjukkan skuad Harimau Selatan sentiasa bersedia dalam saingan Liga M," kongsinya.

JDT mara ke suku akhir Piala Malaysia dan dijadualkan bertemu Negeri Sembilan FC pada 15 September depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram