Dibolosi 18 gol dalam 2 perlawanan, pemain ke-12 TRW merayu TSAM ambil alih Kelantan FC


  • Podium
  • Ahad, 20 Ogos 2023

Annuar Musa kecewa dengan prestasi semasa Kelantan yang hanya menjadi skuad belasahan pasukan lain.

TIADA apa lagi yang mampu diperkatakan penyokong Kelantan FC selepas kecewa dengan prestasi The Red Warriors (TRW) musim ini apabila merekodkan 19 kekalahan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Bukan itu sahaja, Kelantan juga merekodkan tewas sembilan perlawanan yang dibolosi lebih daripada lima gol dalam kesemua kejohanan yang dianjurkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Terbaharu, TRW dibolosi 18 gol dalam dua perlawanan terakhir ketika dibelasah Terengganu FC dan JDT dalam perlawanan Piala Malaysia dan Liga Super.

Kelantan yang tersingkir awal dalam pertandingan Piala Malaysia turut dimalukan oleh JDT dengan agregat 15-1 sekali gus menimbulkan perasaan marah oleh pemain ke-12 TRW.

Bukan sahaja penyokong Kelantan yang terkejut dengan kekalahan besar 0-10 ke atas JDT itu, malah bekas presiden Persatuan Bola sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa turut menzahirkan rasa kecewanya di ruangan komen dalam Facebook Bola Kelantan Terkini.

Annuar Musa sempat meninggalkan komen 'Subhanallah' dalam satu posting keputusan perlawanan yang dikongsikan penyokong Kelantan.

TSAM

Reaksi daripada Annuar Musa berkenaan keputusan perlawanan menentang JDT pada Sabtu.

Reaksi yang diberikan mantan presiden KAFA itu turut mendapat perhatian orang ramai yang mana rata-ratanya memohon beliau untuk mengambil alih Kelantan FC.

"Tan Sri Annuar Musa tolong selamatkan bola sepak Kelantan," kata Nik Hassan.

"Tan Sri Annuar Musa tolong cari jalan altenatif lain, ini dah memalukan nama Kelantan," ujar Bos Mi.

"Minta tolong tauke burger jangan guna pakai nama TRW, mati terus legasi TRW disebabkan keras kepala dia," jelas Mohd Illiase Husin.

"Tolong buat perubahan,bukan maruah dia yang penting maruah kita rakyat Kelantan, memang tak boleh terima dah," luah Hasri Hanafi.

Kelantan Trebel

Kelantan menjuarai Piala Malaysia sekali gus melengkapkan tiga kejuaraan semusim.

Annuar Musa memimpin KAFA selama 10 tahun bermula 2008, dan dalam tempoh itu beliau membawa Kelantan meraih pelbagai kejayaan sehingga menyaksikan mereka digelar gergasi bolasepak tanah air.

Kejayaan paling manis sudah tentunya pada tanggal 20 Oktober 2012, momen tercipta sejarah gemilang bola sepak Kelantan apabila menjuarai Piala Malaysia sekali gus melengkapkan tiga kejuaraan semusim selepas terdahulu menjulang Piala FA dan trofi Liga Super.

Selepas kejayaan bersejarah itu, Kelantan hanya memenangi satu trofi iaitu Piala FA pada 2013, dan sehingga ke saat ini ia kekal sebagai trofi terakhir dimenangi mereka.

Annuar Musa membuat keputusan meninggalkan KAFA pada 2017 susulan masalah kewangan yang cukup kritikal.

Di sebalik meninggalkan pasukan itu dengan pelbagai masalah, sumbangan dan jasanya di dalam mentransformasikan bola sepak negeri itu tetap disanjung dan dikenang ramai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram