JOHOR Darul Takzim (JDT) dilihat semakin kebal dalam Liga Super selepas tidak tewas dalam mana-mana kejohanan yang dipertandingkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) musim ini.
Sudah mendakap dua trofi musim ini, kini JDT di landasan tepat untuk menjuarai Liga Super 2023 buat kali yang ke-10 selepas menang kesemua 20 perlawanan dan hanya dibolosi sebanyak empat kali sahaja.
Namun di sebalik penceritaan kejuaraan ke-10 JDT musim ini, P. Maniam pernah mendedahkan rahsia untuk menewaskan Harimau Selatan ketika dia membimbing Petaling Jaya City FC (PJ City) pada 2021.
Dalam empat pertemuan liga menentang JDT, skuad The Phoenix pernah menang sekali, seri sekali dan hanya merekodkan dua kali tewas sepanjang kelab itu ditubuhkan.
P. Maniam pernah membimbing PJ City.
P. Maniam sebelum perlawanan menentang JDT pada 21 Ogos 2021 memberitahu komitmen dan bermain sepenuh hati antara rahsia untuk menewaskan Harimau Selatan daripada meraikan pesta kemenangan awal meraih gelaran Liga Super buat kali kelapan ketika itu.
Bekas ketua jurulatih PJ City, P Maniam berkata, anak buahnya komited untuk mempamerkan persembahan terbaik menentang Harimau Selatan, kerana PJ City merupakan antara pasukan bukan pilihan yang mengecewakan JDT dalam Liga Malaysia.
"Kami akan bermain seperti biasa kerana kita tahu JDT adalah pasukan yang sangat bagus, malah pemain simpanan mereka juga berada pada satu tahap yang lain, jadi bukan pasukan yang mudah untuk dilawan. Anda tidak boleh melihat seorang pemain, perlu melihat semua kerana mereka juga bagus dalam situasi satu lawan satu.
"Tetapi saya percaya, apabila anda bermain sepenuh hati, apa sahaja boleh berlaku. Walaupun ini sesuatu yang mencabar, pemain perlu menunjukkan komitmen, keagresifan dan sikap positif mereka ketika menentang JDT selain membuktikan kemampuan pemain tempatan kerana PJ City FC terdiri daripada 100 peratus pemain tempatan," katanya.
Sumareh meraikan jaringannya ke atas PJ City.
Tetapi malangnya keputusan tidak berpihak kepada PJ City apabila mereka tewas di tangan JDT dengan jaringan 0-2 yang mana Bergson da Silva dan Mohamadou Sumareh memastikan kemenangan Harimau Selatan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pada 21 Ogos 2021.
Ia sekali gus membenarkan Harimau Selatan meraikan pesta kemenangan awal meraih gelaran Liga Super 2021 buat kali yang kelapan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram