Jaringkan gol gunakan 'hidung', komitmen Seo dipuji Yusri di Darul Aman


  • Podium
  • Ahad, 20 Ogos 2023

Seo masih menggunakan pelindung muka selepas hidungnya patah dalam perlawanan pembukaan Piala Malaysia sebelum ini. — Facebook/Perak FC

PENYERANG berbisa Perak FC, Seo Seon-ung hadir menjadi wira buat kelab berkenaan apabila menjaringkan gol penting ketika aksi timbal balik Piala Malaysia berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Jumaat.

Jaringan yang dihasilkan menerusi tandukan pada minit ke-85 permainan itu memadam kelebihan yang pada awalnya berpihak kepada skuad Sang Kenari.

Lebih membanggakan lagi, ia tercipta berikutan tindakan pantasnya yang menghukum kesilapan mudah penjaga gol tuan rumah, Kalamullah al-Hafiz Mat Rowi.

Sumbangan berkenaan menaikkan lagi status penyerang import Korea Selatan itu sebagai pemain terbaik skuad The Bos Gaurus (TBG) musim ini dengan dia juga merupakan penjaring terbanyak pasukan dalam kempen Liga Super.

367743228_306371271943255_6627214433697170302_n

Yusri jelas terharu dengan semangat yang dipamerkan anak buahnya ketika aksi tersebut. — Facebook/Perak FC

Mengulas akan perlawanan itu, ketua jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah dilihat tidak dapat mengawal emosinya dengan ia merupakan salah satu pencapaian terbaik dalam kerjayanya.

"Seo menjaringkan gol bukanlah menggunakan kepalanya, tetapi dengan hidungnya. Hidungnya yang patah. Ia menunjukkan komitmen pemain itu dalam membawa pasukannya ke peringkat lebih tinggi.

"Malah, tendangan percuma itu juga sepatutnya diambil kapten, Luciano Guaycochea. Tetapi, Che Suhairi Che Halim tampil berani untuk melakukannya," kata jurulatih berusia 47 tahun itu.

Dalam perlawanan berkenaan, Perak FC ketinggalan selepas Manuel Hidalgo dan Akmal Zahir masing-masing menjaringkan satu gol, sekali gus meletakkan mereka di hadapan dari segi agregat.

Tugasan skuad TBG juga semakin berat apabila pemainnya, Khairul Asyraf Ramli dilayangkan kad merah pada minit ke-55, sekali gus memaksa mereka beraksi dengan 10 orang.

Namun, dengan Seo tampil menjaringkan gol penting pada penghujung permainan, Perak FC mara ke suku akhir Piala Malaysia dan akan bertemu Sabah FC di peringkat seterusnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram