KDA menang dalam duka di Piala Malaysia, Ifedayo-Fayadh bukan jawapan kreativiti depan Sang Kenari


  • Podium
  • Sabtu, 19 Ogos 2023

Musim ini, Ifedayo sudah mencetak lima jaringan untuk KDA FC. — Facebook/KDAFC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC terpaksa menerima hakikat perjalanan Piala Malaysia mereka terhenti selepas tewas secara agregat 3-4 meskipun berjaya mencipta kemenangan 2-1 ke atas Perak FC pada aksi kedua pusingan 16 akhir di Stadium Darul Aman pada Jumaat.

Pada perlawanan yang dihadiri ribuan penyokong Sang Kenari itu, KDA FC bermula dengan baik apabila sepakan penalti Manuel Hidalgo pada minit ke-26 dan disusuli gol kedua oleh pemain pertahanan Akmal Zahir pada minit ke-82 memberi sinar untuk ke pusingan suku akhir Piala Malaysia.

Namun, kesilapan mudah yang dilakukan anak-anak buah Nafuzi Zain pada babak akhir perlawanan membuatkan Perak memanfaatkan peluang tersebut dan jaringan dihasilkan menerusi import Korea Selatan, Seo Seon-ung.

Kalah tipis kepada skuad Seladang tersebut menambah duka Kedah apabila sebelum ini Sang Kenari juga tersingkir di pusingan pertama saingan Piala FA di tangan Penang FC.

WhatsApp Image 2023-08-19 at 16.48.35

Hidalgo mencatat satu jaringan pada aksi menentang Perak FC. — Facebook/KDAFC

Pelbagai maklum balas daripada penyokong Sang Kenari susulan kekalahan tersebut dan tidak kurang juga ada berpendapat bahagian serangan Kedah yang diketuai penyerang import, Ifedayo Olusegun kurang memberi kreativiti untuk menghasilkan jaringan dan peluang.

Seperti analisis pasca perlawanan Kedah Menentang Perak yang diutarakan oleh penyokong Sang Kenari, Hafiz Mansor di platform Facebook Analisis Tangga Ayam, dia berpendapat bahawa Ifedayo beraksi di bawah prestasi sebenarnya ketika bertemu Perak itu.

Malah, kemasukan pemain gantian di bahagian sayap iaitu Fayadh Zulkifli Amin bagi menyelesaikan isu kreativiti di tengah padang dirasakan masih belum dapat memberikan hasil terbaik seperti mana dilihat penyokong itu.

“Belenggu masalah hub kreativiti Kedah memang jelas sangat. Dengan lawan beraksi kurang seorang pemain pun Kedah masih gagal melakukan penetrasi di bahagian tengah. Bagi aku, Ifedayo bukan pemain yang sesuai untuk link up play. Bukan gaya permainan dia dan dia hilang sepanjang separuh masa kedua.

“Nafuzi memasukkan Fayadh dan meletakkan dia di bahagian tengah untuk mencipta passing option between the lines. Masalah utama Kedah di sini adalah the assister. Bahasa mudah dia tukang jolok bola dan off the ball movement mencari ruang di belakang pertahanan.

“Sebab tu bila letak Fayadh di situ juga sukar untuk mengubah keadaan. Perak terus mengekalkan disiplin bertahan sehingga ke akhir masa,” katanya di hantaran tersebut.

WhatsApp Image 2023-08-19 at 16.48.34-2

Fayadh masih buntu mencetak jaringan untuk Kedah. — Facebook/KDAFC

Namun, tidak dapat dinafikan bahawa ketiadaan perancang tengah, Amirbek Dzhuraboev menjadi antara punca Kedah kehilangan sentuhan kreatif di bahagian tengah untuk melakukan transisi serangan ke jentera hadapan.

Pemain import dari Tajikistan itu dikeluarkan pada minit ke-59 susulan masalah kecederaan dan digantikan oleh penyerang dari Brazil, Jonathan Balotelli.

Menurut Hafiz, semasa keberadaan Amirbek di babak pertama memberi impak positif yang mana gandingannya bersama Hidalgo menarik pertahanan lawan keluar daripada kawasan mereka.

Oleh itu, pada separuh masa perlawanan jelas menunjukkan bahawa Kedah lebih menguasai permainan dan anak-anak buah Nafuzi juga banyak melakukan serangan di tempat lawan.

“Sekali lagi keberadaan Amirbek di half-space right centre channel sememangnya efektif untuk menembusi blok bertahan lawan. Kombinasi duo Amirbek-Hidalgo ni bagus untuk menarik pertahanan lawan keluar tapi final pass masing-masing masih tidak begitu mengancam. Mudah dipatahkan.

“Cara Perak menyediakan blok bertahan juga menunjukkan mereka sudah bersedia menerima ancaman bertali arus daripada Kedah. Aspek tight man-marking dan compactness di low third Perak mengunci pergerakan pemain Kedah untuk bergerak dan mengancam kubu Perak,” tambahnya.

WhatsApp Image 2023-08-19 at 16.48.33

Amirbek dianggap 'enjin' terbaik KDA FC musim ini. — Facebook/KDAFC

Pujian juga harus dipuji kepada barisan pemain Kedah yang cepat mendapat bola dari lawan dan seterusnya kembali menguasai permainan pada babak pertama perlawanan di Darul Aman itu.

Pengguna Facebook itu menyimpulkan bahawa pada separuh masa kedua, intensiti perlawanan masih kekal tinggi namun ketiadaan Amirbek menyebabkan barisan depan kehilangan mobiliti dan hab kreativiti.

Tersungkur awal di Piala Malaysia itu pastinya masih menjadi episod hitam Sang Kenari musim ini namun KDA FC masih berpeluang merebut MFL Challenge Cup 2023 yang melibatkan sebanyak lapan pasukan.

Pasukan-pasukan ini terdiri daripada pasukan yang tidak layak ke perlawanan Suku Akhir Piala Malaysia. Mereka akan terus berentap bermula di peringkat suku akhir MFL Challenge Cup 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram